PEMERINTAH telah memberi penekanan pada usaha menyokong golongan yang paling memerlukan bantuan, khususnya golongan kurang upaya dan penduduk yang berpendapatan rendah, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kelmarin.
Bagi golongan kurang upaya, Encik Masagos berkata pemerintah membantu mereka mendapatkan pekerjaan dengan memberi insentif kepada majikan.
Sebagai contoh, sekitar 2,400 orang kurang upaya mendapat pekerjaan di bawah Inisiatif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) hasil insentif yang diberikan kepada majikan mereka.
"Saya amat gembira skim ini akan diteruskan kerana ia didapati berkesan," ujar beliau.
Tambahnya, golongan yang memanfaatkan bantuan jangka pendek dan pertengahan menerusi Comcare misalnya juga boleh meraih manfaat daripada subsidi yang amat tinggi bagi yuran pengajian mereka.
"Berdasarkan anggaran kami, (kos) bagi kursus untuk mendapatkan pentauliahan dan kelayakan sebagai guru prasekolah, adalah sekitar $15,000.
"Seseorang yang mendapat bantuan di bawah Bantuan Jangka Pertengahan (MTA) Comcare... kini hampir tidak perlu membayar apa-apa untuk mendapat kelayakan, gaji lebih baik serta gelaran sebagai guru," ujar Encik Masagos dalam catatan di Facebook beliau kelmarin.
Semasa Belanjawan tahun ini, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, antara lain mengumumkan bahawa JGI akan dilanjutkan bagi tempoh enam bulan hingga September tahun ini, dengan kadar sokongan lebih rendah yang mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang beransur pulih.
Lanjutan itu akan meliputi individu yang menghadapi lebih banyak kesukaran dalam mencari pekerjaan, seperti pekerja matang yang sudah tidak bekerja selama enam bulan atau lebih lama, golongan kurang upaya dan bekas pesalah.
Pemerintah juga akan menokok $5 juta sepanjang lima tahun kepada Dana ComCare Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) untuk membantu isi rumah yang memerlukan.
"Berdasarkan anggaran kami, (kos) bagi kursus untuk mendapatkan pentauliahan dan kelayakan sebagai guru prasekolah, adalah sekitar $15,000. Seseorang yang mendapat bantuan di bawah Bantuan Jangka Pertengahan (MTA) Comcare... kini hampir tidak perlu membayar apa-apa untuk mendapat kelayakan, gaji lebih baik serta gelaran sebagai guru."
- Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.