Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Hargai peranan genting asatizah

Asatizah perlu saling pesan memesan jika ada yang tampilkan sesuatu yang boleh jejas keharmonian
May 22, 2016 | 05:30 AM



MENTERI Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata asatizah berperanan penting dalam usaha Singapura menolak fahaman pelampau, dan memuji mereka kerana membantu keharmonian di sini dengan pendapat sederhana.



Memandang ke hadapan, asatizah juga dapat saling pesan memesan jika ada segilintir dalam kalangan mereka yang menyampaikan ajaran kurang sesuai dengan konteks di Singapura.



"Rata-rata asatizah setuju kita harus terus menguatkan keharmonian di sini dengan pendapat sederhana serta menolak fahaman pelampau.



"Dalam golongan asatizah, perlu ada sikap tanggungjawab dan berani menegur sesama mereka kerana (ajaran kurang sesuai) itu mungkin membawa kita ke suasana yang mengganggu ketenteraman kita sebagai negara makmur," ujar Encik Masagos, yang membantu Dr Yaacob Ibrahim dalam Ehwal Masyarakat Islam.



Pada masa sama, teguran itu haruslah dilakukan "tanpa mewujudkan fitnah dan dalam suasana tertutup antara mereka", tambah Encik Masagos.



Beliau berkata demikian dalam satu perbincangan meja bundar anjuran Berita Harian (BH) di pejabat akhbar ini Selasa lalu mengenai ancaman pengganasan.



Sesi yang dinamakan Bincang BH itu turut disertai anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustazah Kalthom Muhammad Isa; Pengarah Urusan pusat pendidikan SimplyIslam, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur; zamil penyelidikan bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah Sudiman; serta peguam dan aktivis antara agama, Encik Noor Marican.



Mengulas komen Encik Masagos, Ustazah Kalthom setuju bahawa kesilapan asatizah memerlukan teguran dalam kalangan asatizah sendiri, yang sewajarnya melihat amalan itu sebagai amar maaruf nahi mungkar atau mengajak kepada hal baik dan mencegah hal buruk.



"Tegur menegur itu satu amalan menasihati. Kita perlukan orang yang boleh memainkan tanggungjawab menegur jika mendapati mereka ini membawa fahaman yang bercanggah dengan amalan hidup yang dibudayakan oleh Rasullullah saw," ujar Ustazah Kalthom.



Ustaz Saiful pula berkata dalam kalangan asatizah mungkin ada orientasi yang kurang selari dengan arus perdana dan majoriti.



"Di sini diperlukan perbincangan tertutup dalam kalangan mereka dalam isu-isu yang tidak disepakati tanpa melibatkan pengetahuan awam, dan sebenarnya wadah tersebut telah ada dan masih aktif hingga kini," ujar Ustaz Saiful.



Encik Nassir pula berkata orang awam perlu faham tentang proses menjadi radikal.



"Fahaman lampau bermula dengan larangan ucapan 'Selamat Ulang Tahun' contohnya, kemudian mereka masuk ke ideologi kebencian, terutama sekali terhadap orang bukan Islam, malah kepada orang yang tidak sependapat.



"Dari fahaman lampau ke pengganas, mereka masukkan pula tentang sikap militan," ujar Encik Nassir.



Encik Masagos turut menyarankan agar asatizah mendidik masyarakat tentang laman-laman yang menyebar fahaman lampau.



Beliau akur banyak sudah dilakukan asatizah sejauh ini, tetapi menekankan semua pihak perlu memainkan peranan, dari pemimpin masyarakat, asatizah hingga ibu bapa dalam mencegah fahaman pelampau daripada menyelinap masuk ke dalam masyarakat.



"Kita tidak boleh menunggu sampai sesuatu berlaku untuk mengambil tindakan kerana waktu itu sudah terlambat. Kita perlu mendapatkan semangat muhibah daripada masyarakat umum dengan setiap golongan memainkan peranan sebagai jiran, teman, rakan kerja atau rakan darjah yang baik.

Jika sesuatu yang tidak kita mahu berlaku, masyarakat bukan Islam tahu itu satu kejadian terkecuali. Mereka akan katakan ini bukan kawan saya, ini bukan Islam, dan akan berdiri bersama orang Islam. Jangan sampai kita harus menjadi defensif apabila berlaku sesuatu."



- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Laporan lanjut:



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >