MENTERI Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, akan mengadakan lawatan rasmi ke Jordan dari 20 hingga 24 Oktober ini.
Beliau juga akan mengunjungi Ramallah pada 22 Oktober ini.
Semasa di Jordan, SMS Masagos akan menemui Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Encik Abdullah Ensour, Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat, Encik Nasser Judeh dan para pemimpin Jordan lain untuk meneroka bidang-bidang kerjasama dua hala.
Kali terakhir pemimpin Singapura melawat Jordan adalah pada 2008.
Ketika itu, mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, menghadiri Persidangan Petra Nobel Laureates ke-4 pada bulan Jun, manakala Menteri Pendidikan semasa itu, Dr Ng Eng Hen, pada bulan Mei.
Kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), berkata Encik Masagos juga akan mengadakan sesi dialog bersama para pelajar Singapura yang sedang belajar di Jordan.
Di Ramallah pula, beliau akan menemui para pemimpin Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) termasuk Presiden Mahmoud Abbas dan Menteri Ehwal Luar Riyad Al-Maliki untuk membincangkan bidang-bidang yang boleh dibantu Singapura kepada warga Palestin dalam usaha-usaha membina kemampuan.
Encik Masagos akan ditemani oleh para pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA).