Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos kongsi tiga pesanan untuk belia

May 30, 2018 | 05:30 AM



Sekumpulan belia baru-baru ini berdialog bersama Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Dianjurkan Berita Harian, sesi itu bertajuk 'Dalam 50 Tahun, Saya Ingin Melihat Masyarakat Melayu/Islam Yang...'. Sesi itu antara lain mahu menggalak belia membincangkan tentang cabaran serta hala tuju masyarakat pada masa depan. Ikuti laporan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) dan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg).



ORANG muda harus menjaga yang tua, yang berjaya pula harus membimbing golongan memerlukan, manakala orang berkuasa pula harus menggunakan kuasa itu untuk berbakti.



Itulah tiga pesanan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kepada belia dalam menyeru mereka untuk memainkan peranan aktif membentuk masa depan masyarakat dan negara.



"Saya berharap anda dapat melakukan tiga perkara ini: Sekarang ini, anda masih muda, jagalah yang tua. Pada masa depan, jika anda lebih mantap dari segi kewangan dan sudah berjaya, bantulah mereka yang memerlukan.



"Kemudian, anda mungkin menjadi orang berkuasa. Gunakanlah kuasa itu dengan sewajarnya untuk berkhidmat," ujar Encik Masagos.



Beliau berkata demikian dalam satu sesi dialog bersama sekitar 20 belia daripada institut pengajian tinggi baru-baru ini.



Dianjurkan Berita Harian, sesi itu bertajuk 'Dalam 50 Tahun, Saya Ingin Melihat Masyarakat Melayu/Islam Yang...', dan menggalakkan belia untuk membincangkan tentang cabaran serta hala tuju masyarakat pada masa depan.



Encik Masagos berkata beliau bangga melihat ramai belia Melayu/Islam yang berwawasan.



"Belia sekarang sebenarnya hasil daripada kerja kita selama 50 tahun lalu. Tetapi belia yang ada ini akan membangun generasi akan datang," ujar Encik Masagos.



Ini kerana golongan belia akan menerajui kepimpinan Melayu/Islam dari segi politik, akar umbi mahupun di peringkat masyarakat pada masa depan, katanya.



Menyentuh pencapaian masyarakat sejak berdekad lalu, Encik Masagos berkata masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah menjadi masyarakat minoriti teladan di mata dunia.



"Melayu/Islam Singapura ialah satu cerminan model di mana kita mampu berada di satu tahap di mana kita berupaya untuk berdiri tanpa bertongkat," ujarnya.



Ini bermakna masyarakat Melayu/Islam boleh berjaya tanpa bantuan khas atau tindakan afirmatif daripada pemerintah, kata Encik Masagos.



Sedang undang-undang berusaha mengatasi isu seperti diskriminasi di tempat kerja, individu juga harus memainkan peranan.



Encik Masagos mengongsi pengalaman beliau semasa bekerja sebagai jurutera di Singtel dahulu, dan menggesa belia untuk gigih berusaha dalam apa jua bidang diceburi dan menonjolkan keupayaan diri mereka sebagai pekerja minoriti.



Namun, selepas berjaya, individu itu sewajarnya menyumbang kembali dan mendampingi masyarakat untuk memberi inspirasi kepada yang lain pula untuk berjaya, kata Encik Masagos.



Pada masa sama, beliau mengingatkan belia tentang hakikat ekonomi hari ini yang memerlukan pembelajaran sepanjang hayat, termasuk kemahiran mendalam dalam beberapa bidang, misalnya.



Oleh itu, Encik Masagos menasihatkan belia agar tidak mengejar segulung ijazah universiti hanya untuk mendapatkan kelayakan kertas semata-mata.



Pelajar Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Encik Muhammad Raihan Ripin, yang menghadiri dialog itu, akur pendidikan masih lagi satu isu penting untuk masyarakat Melayu/Islam.



"Pendidikan itu penting, bukan sahaja untuk mendapatkan ijazah bahkan untuk perkembangan peribadi sendiri.



"Saya fikir kita mesti terus menggalakkan lebih ramai anak muda untuk menitikberatkan pendidikan yang boleh membuka banyak peluang bagi belia," ujar Encik Raihan, 24 tahun.



Selain isu pendidikan, peserta menimbulkan topik seperti kos sara hidup, menghidupkan penggunaan bahasa Melayu, dan sebagainya.



Mengenai kos sara hidup keluarga bagi pasangan muda, Encik Masagos akur ini merupakan satu keprihatinan, dan menggalakkan keluarga muda untuk berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan.



Berhubung bahasa Melayu pula, Encik Masagos menyeru belia untuk terus berusaha menghidupkannya, bukan sahaja untuk memelihara nilai dan jati diri sebagai orang Melayu, bahkan memanfaatkannya sebagai aset untuk berkomunikasi dan merebut peluang di rantau ini.



Awal bulan ini, Encik Masagos memulakan tugas tambahan, selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam - mengambil alih daripada Dr Yaacob Ibrahim yang mengundurkan diri dari Kabinet.




APA KATA MENTERI



"Saya berharap anda dapat melakukan tiga perkara ini: Sekarang ini, anda masih muda, jagalah yang tua. Pada masa depan, jika anda lebih mantap dari segi kewangan dan sudah berjaya, bantulah mereka yang memerlukan. Kemudian, anda mungkin menjadi orang berkuasa. Gunakanlah kuasa itu dengan sewajarnya untuk berkhidmat."



" Melayu/Islam Singapura ialah satu cerminan model di mana kita mampu berada di satu tahap di mana kita berupaya untuk berdiri tanpa bertongkat. Ini bermakna masyarakat Melayu/Islam boleh berjaya tanpa bantuan khas atau tindakan afirmatif daripada pemerintah"
- Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Menteri Bertangungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli.



APA KATA PESERTA



"Beliau (Encik Masagos) memberi saya motivasi supaya bekerja lebih keras lagi. (Encik Masagos) juga berkata andainya kita ingin dikenali, kita harus bekerja keras. Kalau ada seseorang yang melakukan perkara (yang baik), orang lain akan ikut sama."
- Peserta dialog Cik Nur Syazana Jumadi mengenai pengajaran yang diraih daripada sesi dialog bersama Encik Masagos Zulkifli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >