Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Setempat

Masagos: M³ aset masyarakat tangani cabaran

Aug 30, 2018 | 05:30 AM

MASYARAKAT Melayu/Islam mempunyai kekuatan dan aset untuk menangani pelbagai cabaran pada masa depan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ini sedang institusi seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - yang membentuk rangkaian M kuasa tiga (M³) - telah membangun keupayaan mereka sejak tahun-tahun lalu.

"M³ merupakan usul bahawa kita sebuah masyarakat yang boleh menghuraikan apa jua masalah pada masa depan kerana kita telah berjaya di masa lalu, dan kita mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk berbuat demikian," kata Encik Masagos.

Beliau berkata demikian kepada media di akhir Forum Dasar Pasca-Rapat Hari Kebangsaan anjuran Yayasan Mendaki di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat kelmarin.

Kerjasama M³ yang bertujuan menggembleng tenaga pelbagai pihak dalam masyarakat itu telah digariskan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan pada 19 Ogos lalu.

Dengan bekerjasama dengan pemerintah, M³ boleh mengatasi pelbagai cabaran, kata PM Lee.

Sekitar 60 pemimpin masyarakat, karyawan dan akademik Melayu/Islam menghadiri forum tersebut kelmarin.

Forum itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin yang membentangkan cabaran serta hala tuju dalam penjagaan kesihatan di Singapura.

Di forum itu Encik Amrin antara lain telah menerangkan langkah yang diumumkan PM Lee semasa rapat itu, termasuk pakej Generasi Merdeka yang akan membantu setengah juta warga Singapura yang dilahirkan pada 1950-an, dari segi kos perubatan.

Zamil Penyelidik Kanan daripada Institut Pengajian Dasar, Dr Mathew Matthews pula membentangkan tentang ketidaksamaan sosial dan apa yang boleh dilakukan untuk menanganinya.

Ini termasuk memastikan keperluan asas dimampui semua, meningkatkan akses kepada peluang serta menggalakkan kesukarelawanan.

Forum kelmarin turut memaparkan perbincangan panel yang disertai Encik Masagos, Encik Amrin, Dr Mathews. Perbincangan itu dipengerusikan Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin.

Anggota panel bergilir-gilir menjawab soalan yang dikemukakan hadirin mengenai pelbagai topik seperti kos sara hidup yang meningkat, perumahan serta peranan belia dalam M³.

Terdapat juga soalan mengenai peranan badan Melayu/Islam lain dalam rangkaian M³ itu.

Memberikan respons tentang peranan badan Melayu/Islam lain, Encik Masagos berkata badan Melayu/Islam telah lama wujud dan telah banyak berjasa kepada masyarakat dalam pelbagai bidang.

"Mereka akan terus memainkan peranan penting. Dalam kita menggembleng tenaga M³, kita akan mengambil kira kekuatan mereka juga untuk bersama membangun masyarakat," kata Encik Masagos.

Apabila ditemui media kemudian, Encik Amrin berkata sesi itu menunjukkan ramai yang telah memikirkan tentang isu yang dekat di hati mereka seperti perumahan, kos sara hidup serta penjagaan kesihatan.

"Mereka telah menimbangkan pilihan mereka dalam penjagaan kesihatan, pelbagai pilihan yang mereka ada, dan saya fikir terdapat peningkatan kesedaran mengenai cabaran kita sebagai sebuah masyarakat," ujarnya.

Seorang peserta forum itu, Encik Muhammad Ashik Mohamed Daud, berkata beliau setuju dengan pendekatan bertumpukan masyarakat bagi menghuraikan cabaran yang dihadapi masyarakat sendiri.

"Pendekatan itu menggunakan sumber yang ada dalam masyarakat. Itu satu idea yang mudah dan ia juga menggalakkan kita berdikari dan memupuk identiti serta semangat perpaduan," ujar Encik Ashik, 29 tahun, pelajar Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.


"M³ merupakan usul bahawa kita sebuah masyarakat yang boleh menghuraikan apa jua masalah pada masa depan kerana kita telah berjaya di masa lalu, dan kita mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk berbuat demikian."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

"Ramai (warga) yang telah memikirkan tentang isu yang dekat di hati mereka seperti perumahan, kos sara hidup serta penjagaan kesihatan.Mereka telah menimbangkan pilihan mereka dalam penjagaan kesihatan, pelbagai pilihan yang mereka ada, dan saya fikir terdapat peningkatan kesedaran mengenai cabaran kita sebagai sebuah masyarakat."
- Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Encik Amrin Amin

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian