Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: M³ mahu ajak masyarakat lakar dasar bersama

Umum pembentukan Ciptasama@ M³, penganjuran Forum serta penubuhan Pejabat Mentoring Belia Mendaki semasa wawancara sempena menggulung pencapaian masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2019
Dec 22, 2019 | 05:30 AM



Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2018, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad gigih melakar hala tuju Masyarakat Gemilang yang berpandukan tiga ciri penting - keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan - atau yang disifatkan beliau sebagai ciri '3K'. Mendukung visi ini ialah inisiatif M Kuasa Tiga () yang dipelopori beliau dan menggabungkan tenaga dan kepakaran tiga aset penting masyarakat - Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra). Ikuti wawancara Berita Minggu bersama Encik Masagos dalam beliau membincangkan perjalanan masyarakat menuju visi Masyarakat Gemilang dan usaha yang dilaksana .




KERJASAMA M Kuasa Tiga (M³) akan melancarkan satu program baru yang bertujuan menggalak masyarakat menyertai proses menghasilkan dasar bersama tahun depan.



Mendedahkan demikian dalam satu wawancara sempena menggulung 2019 dari sudut masyarakat Melayu/Islam pada Selasa lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata program yang dinamakan Ciptasama@ M³ itu akan diterajui oleh Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad.



Meskipun akur pemerintah kadangkala harus membuat keputusan sukar dalam dasar tertentu seperti berhubung pertahanan dan memastikan keselamatan air Singapura dijamin, Encik Masagos berkata sesetengah isu wajar dibincangkan bersama.



Dalam hal ini, masyarakat juga harus memahami keseimbangan yang perlu dicapai dan mempertimbangnya semasa melakarkan dasar bersama.



"Kita tidak boleh selalu mengharapkan pemerintah mempunyai kuasa monopoli atas kearifan dalam semua hal," ujarnya.



Membentangkan rancangan M³ - yang merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - bagi 2020, Encik Masagos berkata mereka akan menganjurkan satu forum pada Februari nanti.



Forum M³ itu akan menghimpunkan semua pihak yang terlibat dengannya termasuk relawan dan rakan kerja untuk berkongsi amalan terbaik daripada kesemua lapan M³@Bandar yang telah dibentuk di serata Singapura.



Peserta antara lain boleh berkongsi kepakaran, membangunkan kemahiran dan bekerjasama antara satu sama lain dengan lebih erat.



Sebagai sebahagian usaha Mendaki memperkukuh program mentoring bagi masyarakat, khususnya golongan belia, Encik Masagos turut mengumumkan bahawa badan bantu diri itu akan menubuhkan Pejabat Mentoring Belia dengan sokongan agensi M³.



Ini bertujuan memupuk budaya mentoring yang kukuh dalam kalangan masyarakat serta membina ekosistem mentor sukarela yang terlatih bagi golongan belia.



Perincian lanjut akan diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) tahun depan, ujar Encik Masagos.



Selain melancarkan usaha dan program baru, beliau juga menekankan pentingnya terus memastikan program yang sudah diperkenal sebelum ini terus dikendali dengan baik.



Menerusi kerjasama M³ misalnya, Muis, Mendaki dan Mesra dapat saling memanfaatkan sumber, rangkaian serta program satu sama lain untuk menggandakan kesannya.



Ini antara lain telah membolehkan M³ mendekati lebih ramai orang untuk menyertai program KelasMateMatika di kelab masyarakat (CC) atau KMM@CC yang bertujuan memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah berusia empat hingga enam tahun untuk membantu anak mereka menguasai kemahiran asas celik angka serta mempersiap mereka bagi darjah satu.



Sebelum ini, program itu dipanggil Tiga M - singkatan bagi Maju Minda Matematika - dan diperkenal Mendaki pada 2002.



KMM@CC kini telah mendekati sekitar 1,200 ibu bapa dan kanak-kanak berbanding 300 ibu bapa dan kanak-kanak tahun lalu.



Namun, Encik Masagos menarik perhatian bahawa lebih banyak usaha boleh dijalankan khusus untuk mendekati golongan yang benar-benar boleh memanfaatkan program tersebut.



Dalam pada itu, hab pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di Wisma Geylang Serai (WGS), Kurnia@WGS, dan M³@WGS juga memainkan peranan penting memupuk kerjasama lebih baik bagi program bantuan sosial dan membina sinergi di kalangan MMO dengan agensi nasional di WGS termasuk CDC South East da Kelab Masyarakat Geylang East CC.



Lebih 1,090 orang telah menerima bantuan menerusi Kurnia@WGS tahun ini sementara M³@WGS pula telah membantu lebih 2,600 orang.



"Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar dan Pertahanan), Dr Mohd Maliki Osman, telah menjalankan tugas yang baik menjadikan WGS tempat (tumpuan) masyarakat Melayu/Islam... yang bukan sahaja tempat untuk meluangkan waktu bersama keluarga tetapi juga tempat mendapatkan bantuan.



"Ini lebih-lebih lagi dengan pelbagai badan yang ada di situ serta Mendaki, Muis dan Mesra, dan mereka dapat menawarkan bantuan secepatnya," kata Encik Masagos.




ANTARA PROGRAM DAN KEGIATAN UTAMA M³



Memperkukuh keluarga dan pendidikan awal kanak-kanak



  • Responder Pertama Perkahwinan (MFR)

- 128 pemimpin masjid, agama dan masyarakat telah dilatih untuk beri nasihat dan bantuan perkahwinan asas kepada pasangan yang hadapi masalah rumah tangga



  • Bersamamu

- Naib kadi berhubungan dengan pasangan sepanjang dua tahun pertama perkahwinan agar pasangan boleh terus dapatkan nasihat dan panduan bernas daripada naib kadi; lebih 2,500 pasangan telah raih manfaat



  • KelasMateMatika di kelab masyarakat (CC) atau KMM@CC

- Memperkasa ibu bapa mempersiap anak bagi darjah satu



Menyokong keluarga dan individu yang memerlukan bantuan



  • FITRAH

- Lebih 320 relawan termasuk kaunselor agama dan pendamping masyarakat telah direkrut untuk bantu pesalah dan bekas pesalah



  • PA MESRA

- Bantu merekrut lebih ramai relawan Melayu daripada rangkaian akar umbi PA untuk sokong Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP); lebih 30 peratus anggota YRCP di M³@Bedok, M³@Woodlands dan M³@Jurong adalah Melayu



Memperkasa dan membimbing belia



  • Mentor

- Lebih 500 belia dan karyawan telah direkrut sebagai mentor



  • Menti

- Lebih 100 menti sertai program mentor dan menti bagi belia, Projek Soar di M³@Jurong dan M³@Chua Chu Kang



  • Festival M³

- Lebih 2,000 belia sertai festival yang berlangsung pada Julai 2019 ini




PERANAN DALAM M³



Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar dan Pertahanan), Dr Mohd Maliki Osman



- Memimpin Wisma Geylang Serai (WGS)



- Peranan penting pupuk kerjasama antara badan-badan Melayu/Islam dan agensi nasional



- Sepanjang 2019, 1091 telah menerima bantuan menerusi Kurnia@WGS, dan lebih 2,600 orang dibantu di M³@WGS.



Menteri Negara (Tenaga Manusia dan Pembangunan Negara) dan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohd



- Teraju program Cipta Sama, inisiatif baru M³ pada 2020.



- Membantu dalam isu-isu operasi di Yayasan Mendaki.



Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim



- Teraju usaha membangun keluarga kukuh.



- Liputi program sokongan bagi pasangan suami isteri, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak



- Antaranya Responder Pertama Perkahwinan (MFR), Bersamamu dan KelasMateMatika@CC.



Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin



- Teraju usaha membantu keluarga rentan.



- Termasuk Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) dan FITRAH.



Cik Rahayu Mahzam, Anggota Parlimen GRC Jurong



- Memimpin usaha memperkasa dan mendampingi belia




APA KATA MENTERI



MENGENAI M³



Menerusi rangkaian asatizah di sini, Muis membina keperibadian dan menyesuaikan Islam mengikut konteks bagi keperluan masyarakat Islam di Singapura... melindungi masyarakat daripada ancaman ideologi ekstrem. Mendaki menyatukan masyarakat untuk mengejar pencapaian dalam pendidikan dan terus belajar sepanjang hayat supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam ekonomi dunia.Mesra pula telah menyusun semula untuk meningkatkan kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam setempat.



MENGENAI ASATIZAH



Peranan asatizah pada masa depan juga lebih daripada hanya pendidik. Mungkin ada juga ruang untuk mereka turut terlibat dengan kerja sosial atau berkhidmat sebagai kaunselor dan sebagainya. Asatizah yang baru pulang (selepas tamat pengajian di luar negara) perlu tahu bagaimana dan apa yang harus mereka lakukan untuk mendapat pekerjaan yang sesuai.



MENGENAI KEPELBAGAIAN DALAM AGAMA



Islam bukan agama yang monolitik, malah ia disesuaikan mengikut keperluan dan suasana. Adalah tidak wajar dan bukan mengikut ajaran Islam bagi seseorang itu memaksa orang lain menerima versi Islam yang mereka amalkan hanya kerana mereka yang majoriti.



– Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >