MASYARAKAT Melayu/Islam semakin berdaya tahan, prihatin dan bantu--membantu sepanjang pandemik Covid-19, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu pos di Facebook sempena Awal Muharam tahun baru 1444 Hijrah, Encik Masagos menulis:
"Mengimbas kembali pelbagai cabaran yang kita lalui khususnya sepanjang tempoh pandemik Covid-19, saya berasa bangga dengan masyarakat Melayu/Islam kita yang berjaya mengukuhkan ciri-ciri Masyarakat Gemilang kita.
"Kita menjadi lebih berdaya tahan, prihatin dan bantu-membantu. Walaupun kita masih dibelenggu pandemik ini, keadaan semakin baik secara beransur-ansur."
Encik Masagos turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur bahawa aktiviti Maal Hijrah dapat kembali ke masjid-masjid di sini setelah dua tahun menyepi dek pandemik itu.
"Azan maghrib yang akan berkumandang malam ini (semalam) bakal menandakan ketibaan 1 Muharam 1444 Hijrah.
"Saya gembira dan bersyukur bahawa masjid-masjid di Singapura kembali mengalu-alukan kehadiran jemaah bagi sesi bacaan doa akhir dan awal tahun, serta solat maghrib berjemaah untuk menyambut tahun baru Islam ini - sesuatu yang kita rindukan sepanjang dua tahun lalu," katanya.
"Semoga tahun baru Hijrah menguatkan lagi azam dan kesungguhan kita untuk memperbaiki diri dan menyumbang kepada kemakmuran orang-orang di sekeliling kita demi kemaslahatan kita bersama," tambah Encik Masagos.