Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BANCI PENDUDUK 2020

Masagos: Masyarakat pamer kemajuan pendidikan, pendapatan

Jun 19, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu telah menunjukkan kemajuan yang baik dalam pelajaran sepanjang 10 tahun lalu, dengan peratusan mereka yang mendapat pendidikan universiti meningkat berganda, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Malah, masyarakat juga menunjukkan prestasi yang baik dalam taraf ekonomi setelah pendapatan isi rumah median untuk setiap anggota keluarga Melayu tumbuh 3 peratus setiap tahun selama sedekad - daripada $1,043 pada 2010 kepada $1,594 pada 2020 dalam dapatan Banci Penduduk 2020.



"Kita patut berasa bangga dengan pencapaian masyarakat kita sepanjang 10 tahun lalu terutama dalam bidang pendidikan dengan pencapaian pendidikan universiti berganda.



"Masyarakat kita menunjukkan kemajuan dalam pendapatan isi rumah. Tetapi kita akan terus bekerja keras dan pemerintah akan terus menaik taraf pencapaian masyarakat Melayu kita.



"Dan kita akan terus bekerjasama dengan pemerintah bersama-sama masyarakat kita melalui rangkaian M Kuasa Tiga (M³) dan badan-badan Melayu kita agar kita dapat terus meraih pencapaian yang dapat kita banggakan dan bangga menjadi masyarakat yang gemilang,'' katanya.



Dari 2010-2020, peratusan masyarakat Melayu yang mempunyai pendidikan universiti meningkat berganda kepada 10.8 peratus pada 2020 berbanding 5.5 peratus pada 2010.



Mereka yang memiliki diploma dan kelayakan profesional juga meningkat daripada 9.8 peratus pada 2010 kepada 16.9 peratus tahun lalu.



Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki, berkata meski ada jurang luas antara pencapaian masyarakat Melayu berbanding kumpulan etnik yang lain, kemajuan yang diraih pelajar Melayu harus diiktiraf.



Masyarakat Cina yang mempunyai kelayakan universiti naik kepada 34.7 peratus pada 2020 berbanding 23.2 peratus pada 2010.



Bagi masyarakat India pula, ia adalah 41.3 peratus, berbanding 36.8 peratus pada 2010.



"Meski jurang itu ada, dan akan tetap ada buat seketika, tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa masyarakat tidak menunjukkan kemajuan.



"Mentelah lagi dengan adanya laluan pendidikan berbilang, ia telah membolehkan mereka yang dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), beralih ke politeknik atau dari politeknik ke universiti," kata Encik Zaqy.



Lebih ramai Melayu yang meraih kelayakan posmenengah atau lebih tinggi bagi kesemua kumpulan usia dan kenaikan ini lebih ketara dalam kalangan warga Melayu lebih muda.



Dalam kalangan penduduk Melayu berusia 25 tahun ke atas, hampir separuh (47.5 peratus) mempunyai kelayakan posmenengah atau lebih tinggi pada 2020 berbanding dengan kurang sepertiga (31.2 peratus) pada 2010.



Dalam kalangan belia Melayu berusia 25 hingga 34 tahun pula, lapan daripada 10 memiliki pendidikan posmenengah atau kelayakan lebih tinggi pada 2020, berbanding dengan hanya enam daripada 10, pada 2010.



Program pementoran Mendaki juga menurut Encik Zaqy telah membantu memberi inspirasi selain membimbing pelajar untuk meraih pendidikan lebih tinggi dan merebut peluang kerjaya lebih baik.



Dalam pada itu, Encik Masagos berkata Singapura mempunyai universiti bertaraf dunia yang dimampui masyarakat namun isunya ialah bagaimana untuk memastikan setiap warga dapat turut serta dan meraih manfaat daripada prasarana sedemikian.



"Universiti kita seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merupakan universiti bertaraf dunia dan dari segi penilaian, bukan dalam kalangan 100 universiti terbaik tetapi 10 universiti terbaik dunia.



"Ini bermakna pelajar Melayu yang memasuki universiti terunggul ini, meski mereka daripada politeknik, bermakna mereka bersedia dan berkelayakan.



"Justeru apabila menamatkan pengajian daripada institusi ini bermakna mereka juga merupakan pelajar bertaraf dunia," katanya.



Di peringkat sekolah pula, Encik Masagos berkata sekolah rendah dan menengah di sini bermutu dan mempunyai prasarana yang baik.



Namun, masih ada golongan dalam masyarakat yang tidak dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada prasarana sedemikian.



Oleh itu, menerusi program yang dijalankan pemerintah seperti Uplift dapat menyasarkan sokongan terhadap golongan pelajar yang kerap ponteng sekolah atau mengalami isu pembelajaran.



Dari sudut rangkaian program M³ pula, skim tuisyen Mendaki disediakan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah yang memerlukan sokongan akademik.




"Kita patut berasa bangga dengan pencapaian masyarakat kita sepanjang 10 tahun lalu terutama dalam bidang pendidikan dengan pencapaian pendidikan universiti berganda. Masyarakat kita menunjukkan kemajuan dalam pendapatan isi rumah. Tetapi kita akan terus bekerja keras dan pemerintah akan terus menaik taraf pencapaian masyarakat Melayu kita. Dan kita akan terus bekerjasama dengan pemerintah bersama-sama masyarakat kita melalui rangkaian M³ dan badan-badan Melayu kita agar kita dapat terus meraih pencapaian yang dapat kita banggakan dan bangga menjadi masyarakat yang gemilang."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >