Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Model pusat penjaja sosial berkesan, akan dikekalkan

Namun pemerintah akan terus sesuaikan cara niaga bagi manfaat warga
Nov 20, 2018 | 05:30 AM



MODEL perusahaan sosial bagi pusat penjaja akan dikekalkan dan perlu diberi lebih masa untuk menjadi mantap kerana ia berperanan meneruskan bidang penjaja di Singapura.



Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata walaupun Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah memperuntuk perlindungan tertentu dalam proses tender dan penilaian - terutama berkenaan kos - pemerintah tidak akan campur tangan untuk menetapkan sewa selagi mekanisme pasaran berfungsi.



"Walau ada cabaran dalam pelaksanaannya, secara keseluruhan, model pusat penjaja berteras keperluan sosial adalah berkesan," kata beliau.



"Kami telah mendengar maklum balas dan akan menyesuaikan cara perniagaan ini untuk berkhidmat lebih baik kepada warga Singapura."



Encik Masagos berkata demikian di Parlimen semalam, semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) tentang isu pusat penjaja yang dikendalikan pengendali privet.



Seramai 13 AP mengajukan soalan dalam perbahasan rancak sekitar sejam, mencerminkan perbincangan hangat sejak beberapa bulan lalu tentang kos operasi dan syarat yang dianggap kurang adil kepada penjaja di pusat penjaja perusahaan sosial.



Kata Encik Masagos, beliau berbesar hati kerana ada sentimen awam yang berpendapat bahawa pusat penjaja yang dikendalikan secara langsung oleh NEA diuruskan dengan lebih baik daripada yang dikendalikan pengendali privet.



Namun, adalah kurang memadai untuk terus melakukan perkara sama dan model pusat penjaja perusahaan sosial itu perlu diteruskan, tambahnya.



Diperkenalkan sekitar tiga tahun lalu, pusat penjaja perusahaan sosial bertujuan menyediakan makanan yang dimampui dan peluang pekerjaan alternatif bagi warga.



Tujuh daripada lebih 100 pusat penjaja di Singapura dikendalikan pengendali privet.



Secara keseluruhan, kata Encik Masagos, pusat penjaja yang dikendalikan dengan model baru itu telah mencapai hasil yang baik dalam tempoh singkat sejak ia diperkenalkan.



Ini termasuk memastikan makanan yang dijual dimampui, pelbagai dan bermutu, serta dijual di sekitaran bersih. Ia juga telah berjaya menarik penjaja baru dan yang lebih muda ke bidang itu, ujarnya.



Usia median penjaja di pusat penjaja baru ini adalah 43 tahun, berbanding 60 tahun di semua pusat penjaja, kata NEA.



Sejumlah 38 bakal penjaja pula telah menjalani latihan menerusi progam pengendali privet, berbanding 12 yang mengikuti program serupa kendalian NEA.



Menggunakan pasar raya NTUC FairPrice sebagai contoh, Encik Masagos berkata pusat penjaja perusahaan sosial boleh mendukung peranan serupa dalam meneruskan bidang penjaja.



Selain berinovasi dan menyederhanakan harga barangan runcit asas, pasar raya itu terus memenuhi keperluan berbilang pelanggan, dengan menyediakan pelbagai produk berlainan harga.



"NTUC Fairprice tidak akan bertahan jika ia hanya menawarkan pilihan alternatif yang dimampui, tanpa tarikan pilihan lebih luas bagi pelanggan," ujar Encik Masagos.



Berkenaan sama ada pemerintah harus campur tangan secara langsung bagi membantu penjaja dari segi kos, beliau berkata perbuatan itu akan menjejas persaingan adil di pasaran.



"Adalah tidak wajar jika pemerintah memberi subsidi kepada penjaja kerana perniagaannya kurang laris," katanya yang berkata perbuatan itu tidak adil kepada penjaja lebih berjaya dan pengendali pusat penjaja privet berhampiran.



"Model yang wajar harus memperuntuk supaya sewa dan kos lain dikenakan secara terbuka dan adil kepada penjaja, tetapi ia tidak boleh memberi subsidi kepada penjaja sehingga menjejas cara pasaran berfungsi," kata Encik Masagos.




"Walau ada cabaran dalam pelaksanaannya, secara keseluruhan, model pusat penjaja berteras keperluan sosial adalah berkesan. Kami telah mendengar maklum balas dan akan menyesuaikan cara perniagaan ini untuk berkhidmat lebih baik kepada warga Singapura."
- Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >