Masagos: Perlu terus waspada, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

PENAHANAN 3 WARGA SINGAPURA DI BAWAH ISA

Masagos: Perlu terus waspada

Muis tingkat usaha tolak ajaran eksklusif, ekstrem
Jun 26, 2019 | 05:30 AM

MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kes penahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan masih ada golongan masyarakat yang lemah hingga boleh termakan hasutan menjadi radikal.

Berkata demikian dalam catatan di laman Facebook, beliau menyeru agar masyarakat Melayu/Islam terus berganding bahu dengan yang lain dalam memelihara dan mempertahan keselamatan serta keharmonian negara.

"Saya amat berdukacita atas penahanan terbaru warga Singapura di bawah Arahan Penahanan (OD) dan Arahan Sekatan (RO) Kementerian Dalam Negeri (MHA).

"Mereka bertiga - Imran Mahmood, Mohamad Fairuz Junaidi dan Rasidah Mazlan - terdedah kepada bahan radikal dalam talian yang menggalakkan mereka berjuang bersama ISIS dengan bertempur di Syria sebagai cara menjadi syahid.

"Kita mesti terus berwaspada dan bekerja rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta pihak berkuasa untuk menghapuskan ancaman ini," ujarnya.

Berita Popular

Menurut Encik Masagos, Muis sudah lama meningkatkan strategi penglibatan masyarakat secara dalam dan luar talian untuk mengatasi ideologi sedemikian.

Hal itulah menurut Encik Masagos yang menyebabkan sedikit sekali yang terdakwa mempunyai fahaman tersebut.

Selain tiga kes itu, empat orang tahanan yang dibebaskan, kata Encik Masagos, harus disokong supaya kembali ke pangkuan masyarakat, di samping terus prihatin akan kesejahteraan satu sama lain.

Tambahnya, tindakan segelintir individu itu bagaimanapun tidak harus meremehkan pencapaian dan kemajuan besar masyarakat Melayu/Islam selama ini.

Muis dalam kenyataannya semalam berkata bahawa kes tiga warga Singapura yang dikenakan OD dan RO baru-baru ini terus menekankan ancaman berterusan menjadi radikal sendiri.

Muis berkata ini lebih-lebih lagi apabila individu tidak mengesahkan maklumat yang mereka dapatkan menerusi dalam talian hingga menjadi mangsa propaganda radikal yang memperguna konflik geopolitik untuk menambah tarikannya.

Risiko sedemikian masih wujud dalam talian walaupun selepas kumpulan ekstrem ditewaskan secara fizikal.

"Kami bersyukur jumlah penangkapan sedemikian tidak banyak dan kerap.

"Ini disebabkan masyarakat menolak sebarang ajaran sifat eksklusif dan ekstrem dalam kalangan kita serta sentiasa berjaga-jaga terhadapnya," kata Muis.

Namun, memandangkan risiko itu terus wujud bagi mereka yang lebih terdedah, Muis telah meningkatkan usaha pendekatannya, baik menerusi wadah dalam mahupun luar talian.

Ini termasuk menerusi daya usaha Rangkaian Belia Asatizah (AYN) dan penerbitan seperti Siri Irsyad Kontemporari yang bertujuan memberi bimbingan agama dalam menangani isu baru.

Selain itu, ramai asatizah bertauliah di bawah Skim Pendaftaran Asatizah (ARS) bekerjasama dengan Muis untuk menyebarkan mesej dan naratif positif untuk menentang ideologi benci dan keganasan yang disebarkan kumpulan ekstrem dalam talian.

Rangkaian sokongan kukuh yang terbentuk daripada keluarga dan teman juga penting dan boleh mengelakkan seseorang menjadi radikal sendiri.

Muis berkata individu yang melihat naratif bersifat pelampau di Internet boleh mendapatkan sokongan daripada rangkaian utuh itu.

"Tanpa rangkaian sedemikian, individu lebih terdedah kepada ideologi radikal, tanpa mengira usia.

"Individu juga harus berjaga-jaga dengan maklumat palsu dan maklumat yang dimanipulasi secara dalam talian.

"Mereka juga harus lebih berhati-hati sekiranya terdapat individu tidak dikenali yang cuba menghubungi mereka di media sosial," kata Muis.

Sehubungan itu, Muis menggalak masyarakat supaya terus merujuk kepada asatizah berkelayakan bagi mendapatkan bimbingan sewajarnya.

Orang ramai juga boleh menghubungi Muis menerusi talian 6359-1199 atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi talian 1800-774-7747 sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Orang ramai boleh juga menggunakan aplikasi RRG atau menghubungi AYN menerusi aplikasi muslim.SG.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map