Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Relawan antara aset penting jayakan M³

Anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang tampil menyumbang dalam tiga bidang tumpuan M³
Dec 22, 2019 | 05:30 AM



LEBIH 1,400 anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang telah tampil untuk menyumbang secara sukarela kepada inisiatif M Kuasa Tiga (M³) secara keseluruhan termasuk dalam tiga bidang tumpuan - memperkukuh keluarga, menyokong keluarga rentan dan memperkasa belia - dan di kesemua lapan M³ @Bandar.



Menyifatkan golongan relawan itu sebagai "aset" penting masyarakat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata beliau gembira M³ telah menyediakan wadah bagi anggota masyarakat yang lebih berjaya untuk membantu golongan yang kurang berjaya, sekali gus menyerlahkan semangat gotong-royong orang Melayu.



Relawan M³ itu termasuk golongan karyawan, pemimpin akar umbi, pemimpin kesatuan sekerja dan asatizah.



Dalam wawancara sebagai melabuh tirai perkembangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2019, Encik Masagos menekankan tumpuan beliau sepanjang tahun ini ialah memperkukuh rangkaian kerjasama M³ antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



"Ini merupakan perkara utama yang ingin kami capai iaitu membangun keupayaan tiga badan ini bekerjasama, supaya dapat memanfaatkan sumber, rangkaian dan program ma-sing-masing bagi mencetuskan kesan yang lebih luas.



"Dan sepanjang tahun ini, proses ini umpama satu eksperimentasi kerana ketiga-tiga badan ini tidak pernah bekerjasama sedemikian," ujar beliau.



Encik Masagos mendedahkan kerjasama itu telah berjaya meluaskan jangkauan program-program masyarakat.



Justeru, tumpuan bagi tahun depan pula ialah untuk memastikan jangkauan tersebut bukan hanya lebih luas, malah lebih berkesan dengan mengenal pasti golongan yang benar-benar dapat meraih manfaat dari program yang dikendalikan.



Antara program yang diperkenalkan M³ tahun ini termasuk Responder Pertama Perkahwinan (MFR) yang bertujuan membantu pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga; program Fitrah bagi menyokong banduan dan bekas banduan serta program Mentoring Belia.



Sejauh ini hampir 130 pemimpin masjid, agama dan masyarakat telah menjalani latihan bagi program MFR, manakala Fitrah telah berjaya menggembeling tenaga sekitar 320 relawan. Lebih 100 belia pula telah menyertai program mentoring Project Soar.



Program-program M³ itu dikendalikan di lapan M³@Bandar - Tampines, Pasir Ris-Punggol, Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Woodlands - yang dipilih berdasar bilangan penduduk Melayu yang lebih tinggi di estet-estet tersebut.



M³ merupakan inisiatif utama Encik Masagos sejak menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2018, mengambil alih dari Dr Yaacob Ibrahim.



Inisiatif tersebut mendukung visi Masyarakat Gemilang, yang beliau bicarakan buat pertama kali dalam ucapannya di majlis perjumpaan Hari Raya awal tahun ini.



Masyarakat Gemilang dalam konteks Melayu Singapura, menurut Encik Masagos, berpandukan tiga ciri penting iaitu keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan.



Menyentuh berkenaan visi tersebut Encik Masagos berkata Melayu Singapura sudah mencapai kemajuan yang membanggakan. Bahkan, kemajuan itu lebih menggalakkan lagi jika dibandingkan dengan kaum minoriti yang lain di serata dunia.



Namun, beliau menekankan, ini tidak bermakna Melayu sudah bebas daripada masalah.



"Masyarakat gemilang itu bukan masyarakat yang bebas daripada masalah. Tetapi takrif sebuah masyarakat gemilang itu ialah bagaimana kita bersatu untuk mengatasi masalah tersebut," ujar beliau.



Sementara itu, memandang ke hadapan, Encik Masagos berkata tumpuan M³ adalah untuk memperkukuh program-program sedia ada. Ini akan dilakukan antaranya menerusi Forum M³ yang akan diadakan Februari depan.



Satu inisiatif baru Ciptasama yang bertujuan mengajak masyarakat Melayu melibatkan diri dalam perbincangan dalam memutuskan dasar-dasar tertentu selain mencari huraian kepada isu-isu masyarakat secara bersama dengan pemerintah. Inisiatif ini akan diterajui Menteri Negara Kanan (Tenaga Kerja dan Pembangunan Negara) dan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohd.



Encik Masagos juga mengumumkan pembentukan sebuah Pejabat Mentoring Belia oleh Mendaki yang akan disokong agensi-agensi M³.



LAPORAN PENUH WAWANCARA BERSAMA ENCIK MASAGOS




Masyarakat gemilang itu bukan masyarakat yang bebas daripada masalah. Tetapi takrif sebuah masyarakat gemilang itu ialah bagaimana kita bersatu untuk mengatasi masalah tersebut.
- Encik Masagos mengenai visi Masyarakat Gemilang dalam konteks Melayu Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >