SEBUAH seminar yang yang menyentuh mengenai Masyarakat Islam Gemilang dalam Konteks Masyarakat Sekular akan dianjurkan pada Sabtu.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata seminar itu akan berlangsung pada Sabtu ini, 6 November, sebagai usaha meneruskan perbincangan ini.
"Saya ingin mendengar lebih banyak daripada sarjana antarabangsa yang dihormati tentang bagaimana mereka berjaya mengemudi isu-isu kontemporari di negara masing-masing," ujarnya lagi.
Dalam catatan Facebooknya semalam, beliau berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menganjurkan satu siri seminar mengenai Masyarakat Islam Gemilang yang melibatkan cendekiawan setempat dan antarabangsa.
Berjudul "Masyarakat Islam Gemilang dalam konteks pandemik Covid-19", seminar tersebut bertujuan memberi peserta peluang untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat masing-masing.
Mengalu-alukan seminar demikian, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata seminar itu telah meminta pucuk pimpinan agama untuk berfikir dan merancang bagaimana kita boleh membangunkan huraian-huraian dan rangka kerja baharu untuk maju melangkaui wabak sekarang ini.
"Wadah seperti seminar ini menyediakan peluang yang berguna untuk menggembleng kekuatan dan kebolehan kita serta bekerjasama ke arah visi Masyarakat Islam Gemilang," tulisnya dalam Facebook.
Encik Masagos yang turut menghadiri seminar yang diadakan pada Jun lalu itu berkata, negara kini sedang mengharungi masa yang sangat mencabar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sejak dua tahun lalu, masyarakat terpaksa membuat penyesuaian yang sukar dalam menghadapi isu-isu baharu dan kompleks, sambil mengimbangi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Para pemimpin agama juga tegas dalam membimbing masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan pandemik Covid-19 ini.
Namun beliau rasa gembira dalam masa yang tidak menentu dan agak membimbangkan ini, Muis dan pemimpin agama saling bekerjasama dalam usaha mencari jalan terbaik untuk masyarakat maju ke hadapan.
"Saya berbesar hati melihat para asatizah kita mengambil bahagian secara aktif dalam seminar tersebut.
"Mereka ghairah untuk mengetahui bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan dengan yakin sebagai sebuah masyarakat dan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu.
"Cendekiawan setempat kita juga telah berkongsi pengalaman Singapura dalam memberikan bimbingan agama semasa wabak ini, termasuk penyesuaian yang diperlukan untuk solat Jumaat.
"Kita terpaksa membuat perubahan yang belum pernah kita lakukan sebelum ini tanpa rujukan daripada pengalaman masyarakat Islam lain, memandangkan kita adalah antara yang pertama dilanda virus tersebut," kata Encik Masagos.