Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Setempat

Masagos: Warga perlu kekal identiti S'pura sebagai masyarakat majmuk yang harmoni

Feb 21, 2019 | 05:30 AM

SEDANG negara pesat berubah sejajar dengan transformasi ekonomi sejagat, warga Singapura perlu terus mengekalkan identiti unik mereka sebagai warga berbilang budaya dan agama, yang hidup makmur, harmoni dan bermoral.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, usaha itu akan disokong rangkaian M Kuasa Tiga (M³) yang berganding bahu dengan masyarakat dan pihak berkepentingan bagi memastikan keperluan pendidikan, pekerjaan, keagamaan dan sosial dipelihara.

Rangkaian M³ merangkumi Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa bertemu media selepas mempengerusikan dialog pasca belanjawan malam kelmarin.

Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, mengulas mengenai isu nilai dan identiti sebagai teras Belanjawan negara.

Beliau menerangkan, meskipun sebahagian besar Belanjawan melibatkan peruntukan dana bagi merangsang ekonomi, menghasilkan pekerjaan dan menyediakan sokongan kewangan kepada warga, namun pada dasarnya ia adalah bagi membangunkan sebuah Singapura yang utuh, makmur dan bersatu padu bagi generasi kini dan mendatang.

Lantaran itulah, rangkaian M3, yang diilhamkan beliau setelah mengambil alih sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei tahun lalu, akan memainkan peranan dengan menggembleng sumber masing-masing bagi usaha itu.

Dihadiri sekitar 120 peserta, Dialog diberi nama 'Bicara Belanjawan' itu dianjurkan bersama unit maklum balas pemerintah, Reach, dan Berita Harian (BH).

"Membayangkan pentingnya kita maju dengan berbekalkan pendidikan baik, melatih diri dan berusaha mencapai kejayaan melalui kerjaya kita, kita tidak harus lupa nilai kita sebagai orang Melayu/Islam.

"Di sinilah Muis dan Mendaki memainkan peranan penting, begitu juga Mesra yang boleh mengingatkan kita bahawa kita tinggal dalam masyarakat majmuk dan harus bersatu padu.

"Dengan menggembleng M3, kita boleh mencapai satu tahap kejayaan sebagai masyarakat yang beridentiti unik dan tidak meninggalkan nilai moral serta mahu terus bersatu padu dengan rakyat lain," ujar beliau.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen GRC Jurong yang juga Naib Pengerusi Reach, Cik Rahayu Mahzam, yang hadir sebagai anggota panel dialog itu berkata antara keunikan Singapura yang perlu dikekalkan ialah ciri kepelbagaian dan berbilang bangsa.

"Jadi saya mengajak masyarakat kita sentiasa melibatkan diri menyertai acara peringkat nasional dan masyarakat, agar hubungan komuniti kekal kukuh dan dapat saling membantu dalam masa lebih mencabar pada masa akan datang," ujar beliau.

Masagos: Masyarakat Melayu faham Belanjawan pelaburan masa depan