Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LALUAN VTL DARAT SG-M’SIA

Masalah dapatkan tiket rentas Koswe, pasangan terpaksa tunda nikah

Ramai warga Malaysia tidak dapat tempah tiket bas pulang ke tanah air menerusi aturan VTL darat bermula 29 Nov
Nov 26, 2021 | 05:30 AM



PENDUDUK Johor Bahru, Encik Muhammad Muizz Sukaini terpaksa menundakan rancangan pernikahannya yang sepatutnya berlangsung hujung bulan ini selepas beliau dan pasangannya gagal menempah tiket bas Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) untuk merentas koswe semalam.



Beliau, 26 tahun, dan pasangannya Cik Nur Ain Shazlylie Sulaiman - juga penduduk Johor dan bekerja di sini - sudah bersiap sedia di laman Causeway Link dan Transtar Travel sejak 7.30 pagi semalam.



Namun, apabila kedua-dua syarikat mula menjual tiket perkhidmatan pengangkutan pada 8 pagi semalam, mereka diberitahu sekitar setengah jam kemudian, semua tiket bagi "30 hari mendatang sudah habis dijual."



Meskipun laman tempahan syarikat Transtar Travel itu kembali rancak pada sekitar 4 petang, pasangan itu, yang bakal bernikah di rumah Encik Muizz di Taman Sri Pulai, Skudai, juga mendapati mereka tidak boleh melanggan masuk disebabkan permintaan tinggi hinggakan ia kerap mengalami gangguan dan hubungan menerusi talian juga tidak berhasil.



"Sedih sangat tak dapat beli tiket dan terpaksalah kami tunda rancangan hingga mungkin ke bulan depan atau seterusnya," kata jurutera penghasilan yang bertugas di Jurong Island sejak enam tahun lalu itu.



"Nampaknya kalau saya nak balik, saya nak kena naik kapal terbang ke Kuala Lumpurlah. Tapi tak eloklah saya lakukan itu sebab dekat KL risiko kes jangkitan masih tinggi dan jika saya pulang ke Johor nanti, takut saya pula jadi punca jangkitan kepada keluarga dan saudara."



Encik Muhammad Muizz merupakan antara ramai warga Malaysia yang dihubungi Berita Harian semalam yang tidak dapat menempah tiket bas pulang ke tanah air menerusi aturan VTL darat yang bermula pada 29 November - tarikh yang sama VTL menerusi udara dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkuat kuasa.



Apabila BH menjalankan tinjauan semalam, Transtar Travel yang berkata, "tempat duduk masih tersedia" dari 29 November hingga 24 Disember, orang ramai didapati tidak boleh melanggan masuk laman itu sepanjang hari.



Pengguna yang menempah tiket Handal Indah pula menyatakan pelanggan perlu beratur untuk masuk laman.



Terdapat sejumlah 32 perjalanan bas khusus VTL yang memasuki kedua-dua negara setiap hari, dengan kapasiti penuh sehingga 45 penumpang bagi setiap perjanalan. Kuota seharian skim VTL darat itu adalah sekitar 2,900 orang secara keseluruhan dengan 1,440 penumpang bagi setiap perjalanan dari Singapura ke Malaysia dan Malaysia ke Singapura.



Namun, Encik Hafizuddin Ismail merupakan antara golongan yang berjaya menempah tiket bas VTL itu dan akan mengorbankan tiket Jetstar dijadual pada 30 November yang sudah ditempah sebelum ini.



Beliau berjaya mendapatkan tiket bas Causeway Link sekitar tiga petang semalam.



"Dari 9 pagi tunggu dan tunggu, berkali-kali juga saya hampir buat pembayaran tapi tertendang keluar dari laman tempahan. Lagi mudah pulang ke rumah menerusi sempadan darat daripada penerbangan ke KL," jelasnya seorang teknisyen farmasi di Raffles Medical berusia 30 tahun.



"Akhirnya saya dapat juga tiket bas," katanya lagi.



Encik Hafizuddin sudah mengaturkan cuti pulang ke rumahnya di Ulu Tiram dari 30 November hingga 13 Disember, namun rancangannya untuk kembali ke Singapura belum jelas lagi.



"Balik belum tentu lagi, sebab tiket dari 29 November hingga 5 Disember sahaja boleh kita tengok. Untuk 6 Disember ke atas belum buka lagi untuk pembelian."



Namun temannya Encik Ahmad Samion Ismail, 34 tahun pula berkata, beliau tetap akan menaiki pesawat ke KLIA kerana kurang sihat.



Sebab utama beliau pulang ke tanah air adalah untuk menjalani pembedahan bagi merawat hernia di bahagian perutnya.



"Dengan kesibukan dan permintaan tinggi ini, saya rasa saya tak sanggup naik bas dengan keadaan saya ini. Lebih baik saya naik pesawat dan rancang perjalanan ke Johor dari KL menerusi udara atau bas saya rasa lagi mudah untuk saya,"kata Encik Ahmad.



Bagi Encik Muhammad Thaufiq Takiyaddin, 24 tahun, seorang penduduk Gelang Patah yang merancang menemui ibu bapanya pada 7 Disember selama dua minggu, berkata beliau tidak akan berputus asa untuk cuba menempah tiket bas merentas sempadan.



"Sejak 18 Mac tahun lalu saya tak balik. Bila dengar pasal VTL bas ini (kelmarin), saya excited (ghairah) sangat, tapi, terhadap VTL penerbangan, tak ghairahlah sebab kita tinggal Johor, Gelang Patah. Jadi lagi masuk akal untuk naik bas sahaja," kata pengendali penghasilan berusia 24 tahun itu.



Beliau telah cuba menempah tiket menerusi kedua-dua laman Transtar dan Causeway Link dan turut cuba meminta pertolongan daripada pentadbir laman itu pada 8.30 semalam.



"Tapi dua-dua laman tak boleh masuk langsung sebab mereka kata high volume," kata abang sulung dalam keluarga tiga beradik itu.



Encik Thaufiq menambah: "Hari ini (semalam) tak dapat takpe. Tak sedih sangat. Saya akan cuba sampai dapat. Besok atau minggu depan pun saya akan cuba lagi. Kalau dapat balik, gembira nak tengok abah dengan mak."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >