Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Setempat

Masih terdapat ruang pertingkat hubungan dua hala Singapura-Filipina

Sep 09, 2019 | 05:36 PM

WALAUPUN hubungan ekonomi antara Singapura dengan Filipina kukuh dan mantap, terdapat ruang untuk terus mempertingkat lagi aliran perdagangan dan pelaburan, kata Presiden Halimah Yacob.

“Kita berharap dapat membuat kemajuan dalam mengemaskini Perjanjian Pengelakan Percukaian Berganda Singapura-Filipina (Singapore-Philippines Avoidance of Double Taxation Agreement) dan pengembangan Perjanjian Pengangkutan Udara dua hala, yang akan meningkatkan ketersambungan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi kerjasama dan pertumbuhan,” kata beliau.

Puan Halimah berkata demikian semasa satu sidang media bersama Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, di Istana Malacañang di Manila tadi selepas satu pertemuan dua hala antara dua pemimpin negara itu.

Singapura merupakan pelabur asing terbesar kedua Filipina selepas China dan juga pelabur Asean terbesar pada tahun lalu, dengan pelaburan berjumlah $560 juta.

Tahun lalu, Filipina merupakan rakan dagang terbesar ke-14 Singapura manakala negara ini pula rakan dagang terbesar keenam Filipina.

Dari 2017 hingga tahun lalu, perdagangan dua hala meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun, yang berjumlah $21.2 bilion.

Puan Halimah menambah bahawa beliau dan Encik Duterte telah membincangkan pelbagai isu semasa pertemuan dua hala itu dan mereka mengesahkan hubungan kukuh antara Singapura dengan Filipina.

Kerjasama dua negara itu akan diperkukuhkan lagi selepas pertukaran lapan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam pelbagai bidang yang ditandatangani antara agensi pemerintah dengan perniagaan Singapura dan Filipina.

Ini termasuk dalam bidang bandar bijak, pengurusan air, penguatkuasaan perlindungan data, perdagangan pertanian, pendidikan dan budaya.

Selain hubungan ekonomi, Puan Halimah berkata dua negara itu juga menikmati hubungan antara rakyat yang rapat.

Terdapat lebih 200,000 warga Filipina yang menetap, bekerja dan belajar di Singapura.

“Saya memberitahu Presiden Duterte bahawa kita amat menghargai sumbangan masyarakat Filipina kepada masyarakat dan ekonomi Singapura.

“Begitu juga, saya gembira kita mempunyai masyarakat Singapura yang amat bertenaga di Filipina,” kata beliau, yang akan turut bertemu warga Singapura di Filipina dalam lawatannya itu.

Encik Duterte dalam ucapannya di sidang media bersama itu pula berkata beliau dan Puan Halimah meninjau semula sepenuhnya pendekatan mereka dan bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju kerjasama masa depan dua negara itu.

“Kami berbincang tentang memperdalami kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan, yang termasuk memperkukuh dialog pertahanan dan pertukaran latihan antara pasukan tentera dan pasukan khas.

“Presiden Halimah dan saya komited untuk terus mempertingkat hubungan perdagangan dan pelaburan, dengan menyedari matlamat yang telah kami tetapkan untuk diri sendiri di bawah Pelan Tindakan Filipina-Singapura atau PSAP,” kata beliau.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian