Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masjid Yusof Ishak jadi tumpuan negara, sebar sifat rahmah

Oct 23, 2017 | 05:30 AM



PERALIHAN pejabat Yayasan Rahmatan lil 'Alamin (RLA) daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke Masjid Yusof Ishak awal tahun ini telah mengubah masjid menjadi titik tumpuan masyarakat dan negara untuk menyebarkan sifat rahmah kepada semua tanpa mengira bangsa atau agama.



Kedudukannya itu juga sejajar dengan sentimen mantan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, ujar Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada acara Hari Rahmatan lil 'Alamin 2017 serta 'Laluan Harmoni', yang diadakan di masjid tersebut pagi semalam.



Ketika ditemui di akhir laluan 2.2 kilometer dari Masjid Yusof Ishak di Woodlands Drive 17 untuk menyampaikan hamper barangan kepada golongan kurang bernasib baik di flat sewa di Champions Way, Dr Yaacob yang menyertai sekitar 300 sukarelawan masjid untuk turut berjalan kaki ke sana, berkata:



"RLA telah berjalan selama beberapa tahun demi menunjukkan bahawa Islam sebagai satu agama itu membawa rahmah kepada semua.



"Hari ini kita berjalan dan pada masa yang sama juga kita berkongsi apa yang kita ada dengan keluarga yang kurang berkemampuan, tidak kira bangsa atau agama. Saya rasa ini adalah satu cara kita boleh hidupkan nilai Islam di peringkat nasional.



"Alhamdulillah dengan adanya RLA, kita telah pun menukar masjid kita menjadi satu titik tumpuan bagi masyarakat dan negara untuk menyebarkan rahmah kepada semua yang ada di sekeliling kita."



Salah seorang penerima agihan, penganut Hindu, Encik Stanley Daniel Supramaniam, 35 tahun, penyelia pembersihan, yang tinggal di flat satu bilik bersama lapan anggota keluarganya yang lain, mengalu-alukan bantuan itu kerana kehidupan keluarganya amat sempit dan beliau seorang saja pencari nafkah.



Menyentuh pemilihan masjid tersebut sebagai pejabat RLA pula, Dr Yaacob menyifatkan usaha Muis membuka pejabat RLA di Masjid Yusof Ishak sebagai langkah yang baik dan sejajar dengan nilai yang disanjung tinggi oleh Allahyarham seperti keharmonian dan kepelbagaian.



Semalam, Dr Yaacob dan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Vikram Nair; Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Abdul Razak Maricar; serta pemimpin agama lain turut menemui belia pelbagai latar belakang yang berkumpul dalam satu sesi.



Dalam sesi bersama belia itu, Encik Vikram turut menekankan peri pentingnya membentuk jalinan hubungan dengan keluarga kurang berkemampuan seiring usaha untuk memperkasa mereka di samping menjadikan projek membantu mereka kekal mapan.



"Tiada dua orang yang mempunyai masalah yang betul-betul sama. Terdapat tema umum tetapi setiap keluarga menghadapi cabaran berbeza dan memerlukan banyak usaha. Kadangkala mereka datang sertai kegiatan lalu pulang dan tiada kemampanannya.



"Apa yang penting ialah menjalin hubungan. Bantu apa yang boleh tetapi mesej utama adalah memperkasa mereka. Buat mereka berasa yang mereka boleh menjaga diri dan menyelesaikan masalah sendiri," ujar Encik Vikram.



Hari Rahmatan lil 'Alamin 2017 adalah acara tahunan bagi memberi tumpuan untuk, 'Membangun Masyarakat Padu - Bersama'. Ia khusus menyatukan pelbagai masyarakat, belia, sukarelawan, penggiat masjid dan akar umbi untuk bersatu dalam menyebarkan etos RLA dengan nilai keihsanan dan kerahmatan.



Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari RLA, Haji Paiman Supangat, berkata Hari Rahmatan lil 'Alamin tidak pernah berupa satu acara. Ia adalah pergerakan dan mesej yang disampaikan melalui pelbagai wadah secara berterusan.



Dari tahun 2009 hingga 2016, Yayasan RLA telah mengagihkan geran bernilai lebih $900,000 untuk lebih 50 projek khidmat kemasyarakatan dan projek kemanusiaan.



Semalam, tiga kumpulan menerima geran iaitu projek FRENZ 2017 daripada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM); projek Cili Padi Academy 2.0 daripada Yale-NUS College; serta Project Meraki daripada Persatuan Pelajar Universiti Teknologi Nanyang UN.




"Kita tahu bahawa Allahyarham Presiden Yusof Ishak menunjukkan nilai keharmonian, kepelbagaian yang ada di Singapura dan saya rasa dengan adanya pejabat RLA ini, kita menunjukkan bahawa nilai beliau tidak terputus tetapi terus dihidupkan melalui program yang dijalankan oleh RLA.''
- Dr Yaacob Ibrahim mengenai pemilihan Masjid Yusof Ishak bagi menempatkan pejabat Yayasan Rahmatan lil 'Alamin.



"Apa yang penting ialah menjalin hubungan. Bantu apa yang boleh tetapi mesej utama adalah memperkasa mereka. Buat mereka berasa yang mereka boleh menjaga diri dan menyelesaikan masalah sendiri.''
- Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Vikram Nair.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >