Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:40
Maghrib
7:22
Isyak
8:33

Masyarakat maju dalam tempoh dua dekad: PM

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Masyarakat maju dalam tempoh dua dekad: PM

Aug 22, 2022 | 05:30 AM

Berikut merupakan antara sedutan ucapan dalam Bahasa Melayu Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan yang berlangsung semalam. Antara lain beliau menyentuh tentang peranan masyarakat Melayu/Islam semasa pandemik melanda, masyarakat yang teguh dan berjaya serta kemajuan yang dicapai masyarakat Melayu/Islam.


MENGENAI COVID-19

"Selepas dua setengah tahun, saya gembira kerana usaha kita memerangi Covid-19 mencapai kemajuan yang baik.

"Pada awal tahun ini, kita melonggarkan Langkah-langkah Pengurusan Selamat, beberapa hari sebelum Ramadan. Kelonggaran ini disambut baik masyarakat Melayu/Islam. Saya berpeluang mengunjungi Masjid Al-Muttaqin semasa Ramadan dan berjumpa dengan para sukarelawan.

"Mereka gembira kegiatan masjid, seperti sembahyang Tarawih dan Jumaat, dapat diadakan semula hampir seperti sebelum pandemik.

"Begitu juga dengan ibadah haji. Tahun ini, lebih ramai jemaah Singapura kembali ke Makkah untuk tunaikan haji, melebihi jumlah asal yang ditawarkan."

MENGENAI SEKSYEN 377A

"Tahun lalu, saya mengumumkan bahawa jururawat hospital awam akan dibenarkan memakai tudung dengan pakaian seragam, jika mereka mahu.

"Perkara ini dibincangkan bertahun-tahun lamanya. Ia melibatkan banyak perbincangan secara tertutup, dialog-dialog, persiapan, dan persefahaman semua pihak - bukan hanya dengan masyarakat Melayu/Islam. Saya gembira, akhirnya ia dapat dilaksanakan dengan lancar, dan diterima baik oleh semua pihak. Selepas setahun, ternyata pendekatan yang kita ambil, adalah sesuatu yang betul.

"Pastinya, dari semasa ke semasa akan muncul isu-isu lain yang sensitif dan kita mesti menanganinya dengan cara yang sama.

"Salah satu isu ini, yang anda mungkin sudah maklum, ialah Seksyen 377A. Pada asasnya, ia berbeza daripada isu tudung. Tetapi, ia juga hal yang perlu ditangani dengan teliti. Saya akan sentuh perkara ini dengan lebih lanjut dalam ucapan Bahasa Inggeris nanti.

"Namun, biar saya beri jaminan di sini. Dalam menangani hal ini, pemerintah akan terus mengekalkan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat. Kami tidak akan mengubah dasar-dasar berhubung keluarga dan perkahwinan. Kami juga akan terus mengekalkan norma-norma serta nilai-nilai sosial sedia ada dalam masyarakat kita.

"Seksyen 377A adalah isu yang sangat sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan. Kedua-dua penyokong dan penentang mempunyai pandangan yang keras. Tetapi kita tidak boleh membiarkan perkara ini memecahbelahkan kita, seperti yang berlaku di tempat-tempat lain. Biarlah kita menangani isu ini dengan berhati-hati, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

"Setiap kumpulan mesti menerima bahawa ia tidak boleh dapat semua yang diinginkan kerana ia sesuatu yang mustahil. Dan kita mesti memelihara sifat saling menghormati dan mempercayai yang telah kita pupuk bertahun-tahun lamanya, serta kekal bersatu padu sebagai satu rakyat."

MENGENAI SUMBANGAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

"Sumbangan masyarakat Melayu/Islam semasa pandemik menjadi bukti kemajuan dan kejayaan kita sekalian, betapa kita bersepadu dalam masyarakat majmuk Singapura.

"Masyarakat Melayu/Islam membuat sumbangan yang penuh dalam kejayaan ini. Setiap anda memainkan peranan masing-masing demi kebaikan bersama. Begitu juga rangkaian kukuh badan-badan masyarakat yang komited terhadap kemajuan orang Melayu.

"Misalnya Mendaki - yang tahun ini menyambut ulang tahun ke-40.

"Mendaki merupakan antara contoh terbaik dalam memaparkan semangat gotong-royong masyarakat. Ini dapat dilihat dalam bilangan individu cemerlang yang menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Mereka turun padang demi membantu yang lain supaya dapat sama-sama berjaya.

"Saya juga gembira melihat Mendaki secara berterusan menjalankan program-programnya walaupun di tengah-tengah pandemik.

"Sejak ditubuhkan, Mendaki telah membantu masyarakat Melayu/Islam memberi penekanan kepada pendidikan sebagai kunci kemajuan sosio-ekonomi. Bak kata pepatah, genggam bara api biar sampai jadi arang. Berkat kesungguhan ini, usaha-usaha Mendaki telah berjaya membuahkan hasil yang ketara."

MENGENAI KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

"Sebuah masyarakat Melayu/Islam yang teguh dan berdaya tahan, akan sekali gus membentuk sebuah Singapura yang lebih teguh dan lebih berdaya tahan.

"Saya gembira kerana dekad demi dekad masyarakat Melayu/Islam Singapura semakin maju dari segi sosio-ekonomi, dapat mengukir identitinya yang tersendiri, penuh keyakinan, dan bersenyawa dengan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

"Pemerintah memberi sokongan padu kepada usaha membangunkan masyarakat Melayu/Islam, dan kami akan terus berbuat demikian.

"Saudara saudari sekalian, mari kita perkukuh perpaduan erat ini dan atasi apa jua rintangan sebagai rakyat jati Singapura yang bersatu padu.

Mari kita terus berganding bahu demi membangunkan Singapura dan mencipta masa depan yang lebih cerah untuk kita semua."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3