TEKANAN inflasi, ketidaktentuan ekonomi dan pergolakan politik di rantau ini dan serata dunia akan menjadikan 2023, tahun amat mencabar buat Singapura dan masyarakat Muslim setempat.
Namun para penganalisis, pemimpin masyarakat dan Anggota Parlimen (AP) yang ditemuramah akhbar ini berkata pintu peluang masih terbuka sedang masyarakat buat persiapan untuk bertindak dan berdaya tahan menghadapinya.
Yang pasti jika masyarakat Melayu/Islam mampu bertindak dengan baik sepanjang tempoh pandemik lalu hasil kerjasama dengan semua pihak, maka mereka akan mampu mengharungi cabaran mendatang sekiranya kerjasama sedemikian berterusan.
Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpendapat dunia masih boleh meraih peluang pasca Covid-19, hasil pembukaan semula ekonomi dan sektor pelancongan.
"Bagi masyarakat Melayu, persaingan ini berada di peringkat sejagat. Pekerjaan di negara-negara maju terbuka untuk sesiapa sahaja," katanya.
Pengamat politik, Encik Zulkifli Baharudin, memerhatikan masyarakat Muslim perlu sedia bersaing bukan sahaja dengan penduduk setempat, tapi di peringkat global bagi meraih peluang yang sedia ada.
Sementara, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menggalak masyarakat agar berganding bahu dalam membuat persediaan bagi menghadapi cabaran hari muka.