Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN RAPAT HARI KEBANGSAAN

Masyarakat Melayu perlu terus kejar kemajuan, tingkat identiti sendiri

Aug 20, 2019 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu Singapura yang telah maju seiring kemajuan Singapura selama ini harus terus mengejar kemajuan, generasi demi generasi, sementara meningkatkan identiti tersendirinya sebagai sebuah masyarakat progresif dan inklusif.



Demikian menurut beberapa pemimpin Melayu/Islam yang diminta mengulas tentang ucapan bahasa Melayu Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan kelmarin.



Dalam ucapannya itu, Encik Lee antara lain berkata identiti masyarakat Melayu Singapura, yang berbeza daripada Melayu lain di rantau ini dan masyarakat Islam lain di dunia, antaranya didorong nilai keperibadian, iaitu bagaimana Islam diamalkan dalam konteks masyarakat majmuk Singapura.



Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood, berkata Encik Lee telah memberi contoh peranan Islam sebagai sebahagian masyarakat berbilang budaya Singapura serta sumbangan masyarakat Islam di peringkat nasional.



Menurut Encik Lee, Islam diamalkan dengan semangat saling menghormati, toleransi serta sikap inklusif di Singapura dan masyarakat Melayu/Islam di sini dikagumi sebagai contoh bagi masyarakat Islam minoriti di dunia hasil kejayaan yang diraih dalam membina hubungan silang kaum dan agama.



"Kita bukan seperti negara lain yang mempunyai majoriti penduduk Muslim. Di Singapura masyarakat Muslim adalah minoriti.



"Oleh itu, adalah penting untuk kita mempunyai asatizah yang dapat membimbing masyarakat kita dengan baik.



"Dan saya rasa adalah amat penting asatizah kita juga dapat menyesuaikan diri dengan baik, dengan konteks (setempat). Ramai asatizah muda kita sudah pun melakukan demikian, jadi saya rasa usaha yang dijalankan Muis kini akan mengukuhkan lagi usaha ini," kata Encik Esa.



Tambahnya, beliau juga menghargai sokongan teguh Encik Lee bagi usaha membangunkan asatizah setempat serta rancangan menubuhkan Kolej Islam Singapura yang bakal melatih generasi asatizah yang baru di Singapura.



Anggota Mesra, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, berkata antara ciri utama masyarakat Melayu/Islam adalah sifat mereka yang cukup mesra dan semangat keakraban dengan masyarakat lain.



"Ini satu ciri unik, dengan latar belakang iklim kaum dan agama di serata dunia.



"Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah bersepadu dengan baik dengan masyarakat lain di sini selama ini dan ini dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan sesuatu yang luar biasa," ujarnya.



Selain pencapaian yang diraih dalam sektor agama, Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), Cik Amatul Jameel Suhani Sujari, berkata masyarakat Melayu/Islam Singapura juga telah mengecapi pencapaian dalam pelbagai bidang lain termasuk pendidikan dan pembangunan profesional.



"Kita dapat melihat lebih ramai anggota masyarakat, terutama sekali golongan belia, mengambil inisiatif menceburi minat mereka serta mengikuti laluan yang jarang diterokai.



"Kami yakin usaha mencapai kecemerlangan ini akan terus menjadi sebahagian DNA kita, dengan sokongan kukuh daripada pemerintah dan pihak relevan seperti M3 @Bandar," katanya.



Masyarakat Melayu Singapura kini bukan sahaja berpegang teguh pada identiti sendiri mereka, bahkan Encik Lee berkata beliau yakin masyarakat Melayu juga akan terus bertambah maju.



Antara lain, hasil daripada penekanan terhadap pendidikan, kemajuan orang Melayu semakin ketara dan kian ramai orang Melayu berkelayakan lebih tinggi, dengan pekerjaan yang lebih baik, serta mutu hidup yang lebih makmur dan bermakna.



Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Rahayu Buang, berkata pencapaian masyarakat Melayu/Islam selama ini amat membanggakan.



"Daripada tujuh penerima Anugerah Mendaki pada 2007 yang lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama, bertambah kepada 70 orang 10 tahun kemudian, ini cukup mengagumkan. Pelajar kami juga menceburi bidang bukan tradisional seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) serta kursus yang relevan bagi masa akan datang.



"Mendaki akan terus menyokong pelajar kita dan berharap dapat terus membina sebuah masyarakat berjaya... tidak kira dalam kursus mahupun peringkat apa," ujarnya.



Tambahnya, pemerintah menawarkan pelbagai peluang dan Mendaki akan berusaha membantu keluarga dan pelajar merebut peluang tersebut.



Cik Hamidah Aidillah turut rasa terdorong dengan pencapaian masyarakat Melayu/Islam Singapura selama ini, dengan lebih ramai lulusan universiti serta lebih ramai individu Melayu dalam pelbagai industri profesional.



"Saya harap semangat kecekalan hati, ketabahan dan kecemerlangan ini dapat terus hidup dalam bidang lain juga selain pendidikan, iaitu dalam setiap aspek kehidupan peribadi dan profesional kita.



"Sebagai contoh, saya ingin Melayu memiliki masyarakat perniagaan yang lebih kukuh serta terus maju dari segi kekuatan kewangan... agar kita akan juga mempunyai lebih ramai usahawan berjaya dan dermawan yang menyumbang semula kepada masyarakat menerusi pelbagai cara," katanya.



Encik Lee berkata, lebih ramai ibu bapa Melayu juga kini sedar perlunya menghantar anak-anak bagi pendidikan prasekolah kerana ia memberi mereka permulaan yang baik sebelum melangkah ke sekolah rendah.



Dalam usaha menggalak ibu bapa menyertakan anak mereka dalam prasekolah seawal mungkin, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata M3 kini sedang menjalankan projek dengan agensi seperti Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya prasekolah selain mendekati keluarga yang anak mereka belum dimasukkan ke prasekolah.



"Dengan subsidi dan bantuan yang ditawarkan, saya harap masyarakat dapat merasa bahawa mereka tidak perlu bimbang tentang hal kewangan... dan dengan bantuan pemerintah dalam bidang prasekolah ini, saya rasa ini akan meningkatkan akses, mutu dan kos prasekolah di Singapura.



"Masyarakat kita harus memanfaatkannya dan memastikan permulaan yang baik dalam kehidupan setiap anak Singapura," kata Dr Faishal.




REAKSI UMUM



“AMP menyambut baik langkah meningkatkan sumbangan CPF dan menaikkan usia persaraan, yang akan membantu warga emas terus menjadi anggota masyarakat yang produktif dan berdikari. Namun, kita juga harus membantu golongan warga emas meniti usia senja dengan baik dan menikmati masa tua mereka. Pekerjaan bagi warga emas harus dinilai, sama ada ia terlalu sukar atau mencabar bagi mereka. Tidak akan mendatangkan baik kepada negara kita jika warga emas bekerja terlalu keras dalam pekerjaan sedemikian.”
– Pengerusi AMP, Dr Md Badrun Nafis Saion



“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan persiapan awal bagi anak itu. Oleh itu, subsidi dan peningkatan program akan mempunyai kesan baik pada pembangunan anak itu bagi seumur hidupnya. Isu perubahan iklim dan langkah menanganinya juga merupakan masalah akan datang tetapi Singapura mengambil sikap praktikal dan ingin mula menanganinya dari sekarang.”
– Pengerusi Jawatankuasa M³@Jurong, Encik Muhd Faizal Othman



“Keinginan memastikan pemimpin agama kita akan mampu membimbing masyarakat menyesuaikan diri dalam kehidupan beragama dengan tuntutan kehidupan dunia dan realitinya mengikut konteks yang kita hadapi sudah lama wujud dalam diri kita. Kami mendapat maklum balas daripada orang ramai bahawa mereka inginkan asatizah kita dibantu membangunkan kemahiran memahami konteks dan membimbing masyarakat beragama kita mengikut konteks. Ini menunjukkan bahawa apa yang kita inginkan, hasratkan dan impikan sejajar dengan harapan masyarakat juga.”
– Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >