Masyarakat Melayu/Islam terus capai kemajuan yang membanggakan, tahun demi tahun, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

RAPAT HARI KEBANGSAAN: SEDUTAN UCAPAN PM DALAM BAHASA MELAYU

Masyarakat Melayu/Islam terus capai kemajuan yang membanggakan, tahun demi tahun

Namun wujud dua trend membimbangkan: Kadar Melayu di flat sewa semakin meningkat, segolongan pelajar yang ketinggalan dalam pendidikan
Aug 30, 2021 | 05:30 AM

SAUDARA saudari sekalian, sudah hampir dua tahun Covid-19 menjejas kehidupan kita. Namun di sebalik cabaran itu, kita berjaya bangkit sebagai satu masyarakat yang utuh.

Banyak kegiatan dan sambutan terjejas gara-gara Covid-19. Solat di masjid dihadkan. Begitu juga kunjung-mengunjung pada Hari Raya. Dan dua tahun berturut-turut, korban di masjid dan ibadah haji juga tidak dapat dilakukan.

Dalam mengharungi Covid-19, masyarakat Melayu/Islam telah berikan kerjasama penuh. Saya sanjung dan hargai kecekalan anda. Saya juga ingin melahirkan penghargaan saya kepada para pemimpin masyarakat, asatizah serta masjid-masjid di bawah bimbingan Mufti, atas kepimpinan dan usaha mereka untuk terus menggalakkan orang Melayu/Islam mendapatkan vaksin.

Dengan lebih ramai orang disuntik, kita kini melonggarkan sekatan secara beransur-ansur. Ini termasuk membolehkan lebih ramai jemaah di masjid-masjid.

Sungguhpun demikian, kita harus cuba sedaya upaya untuk memberikan vaksin kepada mereka yang masih belum disuntik, terutama sekali warga emas yang paling mudah sakit teruk jika dijangkiti Covid-19. Jika anda warga emas, silalah dapatkan suntikan vaksin secepat mungkin!

Halal Home Based Business
SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Masyarakat Melayu catat kemajuan yang sangat ketara sepanjang sedekad lalu

Saya gembira melihat masyarakat Melayu/Islam bersatu padu dan saling mengambil berat antara satu sama lain sepanjang pandemik ini. Semangat gotong-royong dan sikap tidak putus asa inilah, yang menjadi kunci kemajuan anda selama ini.

Malah laporan Banci Penduduk 2020 baru-baru ini, mendapati bahawa masyarakat Melayu mencatatkan kemajuan yang sangat ketara sepanjang sedekad lalu. Lebih ramai orang Melayu daripada semua peringkat usia berkelulusan tinggi. Kadar siswazah Melayu naik seganda. Jumlah pekerja PMET Melayu juga meningkat. Hasilnya, keluarga Melayu kini meraih pendapatan lebih baik. Syabas!

Kita lihat lebih ramai orang Melayu semakin berjaya. Seperti Aarman Yazeed. Selepas tamat NS, Aarman bekerja di Thermo Fisher Scientific, antara syarikat pembuat peranti perubatan terbesar di dunia. Beliau bekerja keras dan gigih belajar kemahiran baru. Prestasinya menyerlah dan beliau dinaikkan pangkat sebagai pengurus pengilangan. Karyawan seperti Aarman, antara sebab Thermo Fisher yakin dan baru-baru ini mengambil keputusan untuk menghasilkan vaksin di Singapura.

Satu lagi contoh ialah Samsiah Suliman, Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction. Samsiah adalah peniaga generasi ketiga perniagaan sate keluarga yang bermula dengan datuknya, lebih 110 tahun lalu. Saya bertemunya baru-baru ini. Samsiah beritahu saya apabila mengambil alih perniagaan itu, beliau yakin akan potensinya. Beliau berusaha untuk mempelbagaikan rangkaian produknya termasuk menyediakan pilihan bukan daging, seperti sate ini. Nampak macam sate babat, tapi ini sebenarnya sate cendawan. Sama lazatnya! Samsiah juga berjaya membawa sate Singapura ke pentas antarabangsa. Hari ini, syarikatnya mengeluarkan 80,000 cucuk sate sehari, dan mengeksport ke Hong Kong, Kanada dan Timur Tengah.

Saya harap kisah-kisah kejayaan seperti Samsiah dan Aarman akan menjadi perangsang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk terus maju jaya.

Trend membimbangkan berkaitan pemilikan rumah, pendidikan

Namun, Banci Penduduk 2020 juga menunjukkan beberapa trend membimbangkan berkaitan pemilikan rumah dan pendidikan.

Seperti rakyat Singapura yang lain, kebanyakan keluarga Melayu memiliki rumah mereka sendiri. Tetapi, kadar orang Melayu yang tinggal di flat sewa semakin meningkat. Antara sebabnya ialah sebahagian pasangan muda yang berkahwin ingin berdikari sebelum mereka bersedia untuk membeli flat. Ini tidak begitu membimbangkan tetapi ada juga yang mengalami perubahan mendadak dalam keadaan keluarga atau kewangan mereka. Ada pula yang menghadapi cabaran-cabaran rumit hingga sukar untuk merancang bagi masa depan mereka.

Setiap tahun, dengan bantuan Pemerintah, sebahagian keluarga ini berjaya pindah dari flat sewa ke flat milik mereka sendiri. Memiliki flat HDB sendiri bukan setakat mempunyai tempat berteduh. Ia membantu warga kita membina masa depan yang cerah. Kita mesti tingkatkan kesedaran bahawa flat sewa hanyalah huraian sementara. Kita mesti galakan keluarga-keluarga di flat sewa memantapkan pendapatan, agar mereka boleh memiliki rumah sendiri dan maju seiring dengan masyarakat.

Dalam hal ini, usaha-usaha di peringkat masyarakat sangat penting. Contohnya, Projek DIAN@M³ bakal membantu lebih banyak keluarga Melayu/Islam untuk memanfaatkan program sokongan Pemerintah dan menjadi pemilik rumah. Pemerintah akan memberikan sokongan penuh kepada mereka.

Saudara saudari, di Singapura, kita berusaha untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif. Kuncinya, pendidikan. Itulah sebabnya, Pemerintah banyak melabur dalam bidang prasekolah dan pendidikan.

Tetapi, kita mesti tumpukan perhatian kepada segolongan pelajar yang ketinggalan. Mungkin mereka kurang keyakinan diri dan dorongan. Kadangkala, masalah keluarga menjejas prestasi mereka.

Usaha badan Melayu/Islam dan rangkaian M³

Menteri Maliki Osman menerajui UPLIFT, pasukan bertindak yang menggandingkan agensi Pemerintah dengan rakan kerjasama di peringkat masyarakat. UPLIFT menyediakan bantuan awal dan berterusan bagi pelajar-pelajar kurang bernasib baik daripada semua kaum demi meningkatkan pencapaian pendidikan mereka.

Badan-badan Melayu/Islam dan rangkaian M³, juga bergiat aktif untuk saling melengkapi usaha-usaha ini.

Saya gembira melihat para pelajar meraih manfaat daripada program-program nasional dan masyarakat kita. Contohnya, Siti, bukan nama sebenar, seorang graduan politeknik, dan adik-adiknya. Oleh kerana pendapatan keluarga yang kecil, mereka disokong beberapa agensi Pemerintah dan badan masyarakat sepanjang tempoh persekolahan mereka.

Misalnya, mereka dimasukkan ke Pusat Jagaan Pelajar dengan subsidi ComCare. Program ini memupuk tabiat dan rutin harian yang baik. Siti sendiri menerima sokongan skim TTFS MENDAKI semasa di politeknik. Salah seorang adik Siti pula menerima sokongan akademik tambahan bagi Bahasa Inggeris dan Matematik melalui Program Tuisyen Kerjasama antara badan-badan bantu diri.

Tahun lalu, ibu bapa mereka hilang pekerjaan ekoran Covid-19. AMP Singapura memberi bantuan tambahan untuk memenuhi keperluan pendidikan Siti dan adik-adiknya sementara ibu bapa mereka memantapkan pendapatan keluarga. Ibu bapa mereka juga dibimbing AMP untuk tingkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berdikari semula.

Berkat sokongan padu dan menyeluruh daripada pelbagai pihak, adik-adik Siti maju di sekolah. Bahkan mereka menerima beberapa biasiswa dan anugerah kerana cemerlang dari segi akademik dan perwatakan. Pengalaman Siti sekeluarga menunjukkan bahawa sekitaran penjagaan dan sokongan yang membina, berjaya menghasilkan kesan yang besar dalam mutu kehidupan mereka.

Dengan membantu mereka yang pada mulanya ketinggalan, kita menjayakan dasar meritokrasi dan maju bersama sebagai satu rakyat.

Keharmonian kaum dan agama, pemakaian tudung

Dasar meritokrasi juga bergantung kepada perpaduan masyarakat majmuk kita.

Kita menikmati keharmonian kaum dan agama sejak merdeka. Kita bertolak ansur, saling menghormati dan menyediakan ruang bagi semua masyarakat untuk hidup aman damai. Namun, keseimbangan ini sangat rapuh. Lantas, ia perlu dijaga dengan begitu teliti seperti kita menatang minyak yang penuh. Pada masa yang sama, kita patut membuat penyesuaian sejajar dengan nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi dan aspirasi pelbagai kumpulan yang semakin meningkat.

Salah satu penyesuaian sedemikian ialah soal pemakaian tudung oleh jururawat Muslim. Ini bukan isu baharu. Saya sendiri telah berbincang tentang perkara ini dengan pemimpin agama dan masyarakat. Mereka telah menerangkan dengan jelas mengapa pemakaian tudung penting kepada masyarakat Melayu/Islam. Mereka berharap Pemerintah akan mengubah peraturan untuk membenarkan para kakitangan beruniform memakai tudung.

Saya katakan kepada mereka, "Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam. Tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional Pemerintah."

Saya tekankan keprihatinan utama kami ialah keharmonian kaum. Pemerintah wajib memastikan bahawa sebarang perubahan kepada peraturan mengenai tudung, harus merapatkan masyarakat Singapura yang berbilang kaum. Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita.

Bagi murid-murid sekolah dan para pegawai perkhidmatan awam beruniform termasuk SAF dan polis, kami tidak dapat membenarkannya atas sebab-sebab yang sangat genting. Bagi para jururawat, sebenarnya ada sebab-sebab yang munasabah di sebalik dasar Pemerintah. Namun, pertimbangan untuk membenarkan atau tidak membenarkannya adalah agak seimbang. Dari semasa ke semasa, keseimbangan baru boleh dibuat secara berhati-hati dan bertahap-tahap.

Beberapa bulan lalu, saya memberitahu sekumpulan asatizah dan pemimpin masyarakat bahawa saya berharap dapat buat keputusan mengenai isu ini menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan. Harinya sudah tiba. Keputusan sudah diambil. Isu ini bukan hanya melibatkan masyarakat Melayu/Islam tetapi ada kepentingan nasional bagi masyarakat berbilang kaum dan agama kita. Jadi, saya akan jelaskan lebih lanjut dan membuat pengumuman rasmi dalam ucapan Bahasa Inggeris sebentar lagi.

Buat penyesuaian demi keperluan satu sama lain

Saudara-saudari sekalian, masyarakat Melayu/Islam terus mencapai kemajuan yang membanggakan, tahun demi tahun. Sedang kita mara ke hadapan sebagai sebuah masyarakat inklusif, penting untuk kita memiliki kematangan antara kaum dan membuat penyesuaian demi keperluan satu sama lain. Sama penting ialah meningkatkan semangat saling membantu, seperti sepanjang pandemik ini, khususnya bagi golongan yang memerlukan.

Marilah kita bersatu padu, saling membantu dan erat bermuafakat, bagai aur dengan tebing. Dengan itu kita akan terus teguh, makmur dan bersinar, dan mencapai impian kita bersama, sebagai satu rakyat, satu bangsa, satu Singapura!


"Laporan Banci Penduduk 2020 baru-baru ini, mendapati bahawa masyarakat Melayu mencatatkan kemajuan yang sangat ketara sepanjang sedekad lalu. Lebih ramai orang Melayu daripada semua peringkat usia berkelulusan tinggi. Kadar siswazah Melayu naik seganda. Jumlah pekerja PMET Melayu juga meningkat. Hasilnya, keluarga Melayu kini meraih pendapatan lebih baik."
- Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong. 

"Kadar orang Melayu yang tinggal di flat sewa semakin meningkat. Antara sebabnya ialah sebahagian pasangan muda yang berkahwin ingin berdikari sebelum mereka bersedia untuk membeli flat. Ini tidak begitu membimbangkan tetapi ada juga yang mengalami perubahan mendadak dalam keadaan keluarga atau kewangan mereka. Ada pula yang menghadapi cabaran-cabaran rumit hingga sukar untuk merancang bagi masa depan mereka. Setiap tahun, dengan bantuan Pemerintah, sebahagian keluarga ini berjaya pindah dari flat sewa ke flat milik mereka sendiri. Memiliki flat HDB sendiri bukan setakat mempunyai tempat berteduh. Ia membantu warga kita membina masa depan yang cerah. Kita mesti tingkatkan kesedaran bahawa flat sewa hanyalah huraian sementara."
- Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map