Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

SKIM PENGIKTIRAFAN ASATIZAH

Masyarakat Muslim kian peka mengenai skim pentauliahan

Sep 22, 2019 | 05:30 AM

Sejak menjadi mandatori pada 2017 sehingga Julai lalu, Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mempunyai sekitar 4,600 asatizah yang berdaftar di bawahnya. Sejauh manakah keberkesanannya ke atas masyarakat Muslim dan guru agama setempat? Wartawan FARID HAMZAH(farid@sph.com.sg) melaporkan.

LEBIH ramai ibu bapa kini berusaha mendapatkan guru agama dan tenaga pengajar Al-Quran bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk membimbing anggota keluarga di kelas masjid, pusat pendidikan privet atau di rumah mereka sendiri.

Ini menunjukkan bahawa masyarakat Muslim setempat lebih peka mengenai skim pentauliahan itu dan manfaatnya kepada anggota keluarga dalam jangka masa panjang.

Pada masa yang sama ARS juga memberi peluang kepada guru agama agar lebih sedar akan kelemahan mereka dan berusaha mempertingkat diri untuk mengatasinya.

Pengasas dan Pengarah Huda Educational Services, Ustaz Abdul Hakeem Mohd Ismail, 56 tahun, berkata ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusatnya kini lebih sedar bahawa tenaga pengajarnya bertauliah di bawah ARS.

"Kini secara automatik mereka tahu bahawa kesemua 15 tenaga kerja kami mempunyai ARS.

"Ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap IECP seperti Huda Educational Services kian bertambah," katanya melalui pesanan WhatsApp dan semasa dihubungi.

Sementara itu dalam e-melnya kepada wartawan, Ustaz Abdul Hakeem, yang mempunyai seramai 250 murid berusia antara lima dengan 21 tahun, berkata dengan adanya ARS, masyarakat Muslim di sini lebih peka akan maklumat yang diperolehi di Internet atau saluran lain seperti radio dan majalah.

"Mereka tahu bahawa maklumat yang disampaikan - jika dari sumber tempatan - haruslah daripada asatizah yang diiktiraf.

"Sistem ARS telah mengubah minda masyarakat Muslim setempat agar menyaring maklumat agama yang diterima daripada apa sahaja sumber dan jika musykil boleh merujuk kepada asatizah setempat yang mempunyai ARS untuk penjelasan sama ada ia sesuai atau tidak untuk masyarakat kita," katanya lagi.

Seorang guru Al-Quran, Cik Norizan Abdullah, 40 tahun, berkata beliau sendiri kerap menerima pertanyaan sekiranya memiliki ARS, sebelum mula mengajar.

"Rata-rata semakin ramai ibu bapa yang peka mengenai siapa yang bakal mengajar anak-anak atau anggota keluarga mereka yang lain.

"Mereka bersandar kepada ARS bagi memastikan guru yang mengajar sememangnya bertauliah," katanya yang mempunyai ARS sejak 2008.

Malah beberapa ibu bapa yang dihubungi menekankan akan pentingnya guru yang mempunyai pengiktirafan seperti ARS sebelum dibenar mengajar anak-anak mereka.

Antara mereka, Encik Djohan Abdul Rahman, 48 tahun, memastikan beliau menghantar kededua anaknya ke masjid untuk mendapatkan pendidikan agama semasa mereka kecil.

"Kini mengaji di rumah pun saya pastikan guru bertauliah yang mempunyai ARS mengajar kami sekeluarga," kata Encik Djohan, seorang guru.

Seorang lagi bapa Encik Azlan Rahim, 56 tahun, memastikan asatizah yang mengajar anak-anaknya bertauliah dan berpengalaman mengajar di masjid serta mempunyai kelulusan ukhrawi yang baik.

Baginya ini penting agar pengajaran yang diperolehi itu betul, kata bapa tiga anak perempuan itu.

Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Dr Nazry Bahrawi, berkata ARS memberi struktur yang jelas bagi guru-guru agama Islam untuk menilai sendiri perkembangan diri mereka dari segi latihan, kemahiran dan pendidikan.

"Salah satu manfaat dari skim ARS yang menarik ialah strukturnya jelas bagi guru-guru agama Islam untuk menilai sendiri perkembangan diri mereka dari segi latihan, kemahiran dan pendidikan.

"Ini bermakna mereka boleh mengenal pasti aspek yang mungkin kurang pada diri mereka, dan seterusnya cuba mencari peluang atau buat perancangan memperkukuh kemahiran mereka dalam ciri-ciri itu.

"Apabila guru-guru agama lebih jelas akan perkembangan mereka sendiri, ini memberi kesan positif kepada para pelajar yang lebih yakin bahawa pendidikan Islam yang diterima mereka telah dinilai dan berkualiti tinggi," katanya.

Memberikan pandangan peribadinya, lulusan bidang pengurusan pendidikan Islam dari Universiti Malaya, Dr Abdullah Othman, berkata agak payah untuk memastikan secara objektif sekiranya asatizah berkelayakan ARS mampu bersikap berani dan telus semasa mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amr ma'ruf nahi mungkar) - dalam pelbagai ehwal agama atau terlalu bimbang tersilap semasa bicara dan bertindak, hingga menjejas status ARS.

Juga, adakah mereka sudah bersedia dan diyakini dapat menyampaikan pendidikan dan dakwah secara inovatif, kreatif dan berkesan, katanya lagi.

"Saya juga prihatin bahawa syarat-syarat pensijilan ARS mengambil agak banyak sumber masa, tenaga dan kos melibatkan warga kerja dan majikan," katanya yang juga Pengarah Pengurusan di Pusat Pendidikan Andalus, Cordova dan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Justeru beliau menyarankan agar kajian menyeluruh secara berdikari serta berwibawa dilakukan untuk tujuan itu.

Bagi mengoptimumkan potensi ARS, Dr Abdullah menyarankan agar diadakan kajian data analitik asatizah yang berdaftar di ARS untuk memahami secara bertepatan sosio-ekonomi dan peluang serta cabaran golongan itu.

"Menerusi data analitik ini, potensi dan kerjaya mereka dapat terus dipertingkat secara tersusun, sistematik dan diyakini," katanya.

Dr Nazry pula menyarankan keanggotaan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) yang berbilang - melibatkan bukan sahaja guru agama setempat, malah juga cendekiawan Islam terkenal selain individu setempat yang mahir dalam disiplin yang bukan Islam.

"Ini termasuk daripada bidang teknologi, sains dan juga sains sosial dan humaniti," katanya.

Ustaz Abdul Hakeem berasakan kehadiran ARS tidak menghambat, apa lagi mengawal para asatizah yang seharusnya berhati-hati dalam penyampaian mereka untuk pastikan ianya berasas misalnya berdalil kepada Al-Quran dan Sunah.

Memberi pandangannya, sami Venerable Phra Goh Chun Kiang, 34 tahun, berkata kehadiran sistem pentauliahan mandatori dapat membantu dalam usaha mengekalkan keharmonian kaum selain memberikan respons tanpa mengkritik pelbagai pandangan agama yang berlainan.

Justeru beliau, yang bergiat dengan Rangkaian Belia Buddha dan juga menganggotai Pertubuhan Antara Agama (IRO) Belia, mengalu-alukan sistem mandatori sedemikian demi keharmonian dalam dan luar agama.

"Bagi saya pengiktirafan ini lebih kepada keharmonian kaum.

"Bagaimana dapat kita memberikan respons kepada pandangan agama yang berbeza dan memberi respons sekurang-kurangnya dalam cara yang tidak berat sebelah, tanpa mengkritik sebarang masyarakat beragama," katanya dalam e-mel dan semasa dihubungi wartawan.

Dalam satu sesi meja bundar bersama Berita Minggu baru-baru ini, Venerable Phra Goh berkata biasanya dalam masyarakat Buddha, "orang awam" boleh memberi ceramah.

Menurutnya sesiapa sahaja boleh mendapatkan diploma dan ijazah universiti dan mula mengajar.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata: "Tidak seperti dalam Islam di mana terdapat pensijilan untuk berceramah.

"Masyarakat Buddha tidak ada (pensijilan).

"Sesiapa sahaja dibenarkan memberi ceramah," katanya.

Sehubungan itu, Venerable Phra Goh berkata pada masa ini pertubuhan Buddha diuruskan masyarakat umum yang biasa mendapatkan orang ramai untuk memberi ceramah berbanding sami.

Ramai penganut Buddha yang menghadiri kursus dan mempunyai diploma dan ijazah dalam agama Buddha, katanya.

"Justeru mereka lebih layak secara akademik berbanding ramai sami lain," katanya.

Menurutnya beliau tidak tahu jumlah sebenar sami di sini dan beliau juga tidak pasti sekiranya ada pertubuhan yang memantau kemasukan sami ke Singapura dari luar negara.

Namun sami-sami tersebut, katanya, dibenar menganjurkan kelas-kelas keagamaan atau sesi bersembahyang di kuil dan rumah penganut agama itu.

Dan mereka juga tidak perlu diberi pengiktirafan sebelum dibenar menganjurkan sesi bersembahyang atau kelas berkaitan keagamaan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa pada masa ini terdapat banyak interpretasi di mana banyak kumpulan berbeza Buddha yang tidak setuju antara satu sama lain.

Atas sebab itu beliau melahirkan harapan agar adanya pengiktirafan bagi penceramah umum demi keharmonian dalam dan luar agama mereka memandangkan mereka lebih berpengaruh berbanding sami, tambahnya lagi.


APA KATA MEREKA

Mereka tahu bahawa maklumat yang disampaikan - jika dari sumber tempatan - haruslah daripada asatizah yang diiktiraf. Sistem ARS telah mengubah minda masyarakat Muslim setempat agar menyaring maklumat agama yang diterima daripada apa sahaja sumber dan jika musykil boleh merujuk kepada asatizah setempat yang mempunyai ARS untuk penjelasan sama ada ia sesuai atau tidak untuk masyarakat kita.
- Pengasas dan Pengarah Huda Educational Services, Ustaz Abdul Hakeem Mohd Ismail.


Salah satu manfaat dari skim ARS yang menarik ialah strukturnya jelas bagi guru-guru agama Islam untuk menilai sendiri perkembangan diri mereka dari segi latihan, kemahiran dan pendidikan. Ini bermakna mereka boleh mengenal pasti aspek yang mungkin kurang pada diri mereka, dan seterusnya cuba mencari peluang atau buat perancangan memperkukuh kemahiran mereka dalam ciri-ciri itu. Apabila guru-guru agama lebih jelas akan perkembangan mereka sendiri, ini memberi kesan positif kepada para pelajar yang lebih yakin bahawa pendidikan Islam yang diterima mereka telah dinilai dan berkualiti tinggi.
- Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Dr Nazry Bahrawi.


" Rata-rata semakin ramai ibu bapa yang peka mengenai siapa yang bakal mengajar anak-anak atau anggota keluarga mereka yang lain. Mereka bersandar kepada ARS bagi memastikan guru yang mengajar sememangnya bertauliah.
- Guru Al-Quran, Cik Norizan Abdullah.


SEKILAS MENGENAI ARS

IDEA bagi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dicetuskan pada 1994 oleh Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim, yang ketika itu presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), dengan hasrat pembangunan asatizah dapat dijalankan dengan lebih berstruktur dan pengajaran agama dapat disampaikan sejajar dengan konteks di Singapura.

ARS kemudian diperkenalkan pada 2005 dengan tujuan untuk mempertingkatkan kewibawaan golongan asatizah di mata masyarakat dan sebagai senarai rujukan yang boleh dipercayai.

Skim ini terbuka kepada semua asatizah bergelar 'ustaz' dan 'ustazah' di Singapura dan dilaksanakan bagi memastikan pengetahuan mereka tentang Islam dapat disahkan dan diluluskan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).

ARB pula terdiri daripada beberapa asatizah kanan.

Pada masa itu, ARS tidak diwajibkan dan hanya atas dasar sukarela.

Namun ARS menjadi mandatori mulai 1 Januari 2017, dengan asatizah diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftar selepas ia berkuat kuasa.

Mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik pula akan diberi sehingga tiga tahun untuk memenuhi kelayakan yang diperlukan.

Antara kelayakan minimum yang perlu diperolehi di bawah ARS ialah diploma dalam pengajian Islam daripada institusi diiktiraf ARB.

Objektif ARS bersifat inklusif dan memastikan setiap ustaz dan ustazah layak berada di bawah skim itu.

Pada masa yang sama Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) juga perlu mendaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menggajikan hanya asatizah yang mempunyai ARS, serta memastikan guru dan kandungan yang diajar menepati kod etika ARS yang ditetapkan.

Daripada hanya sekitar 400 asatizah yang mendaftarkan diri di bawah skim itu pada 2006, angka tersebut kini mencecah lebih 4,600 asatizah sehingga Julai lalu.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian