Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

Masyarakat papar semangat kemanusiaan dalam hadapi krisis Covid-19

May 23, 2020 | 08:56 PM

MESKIPUN Ramadan kali ini sangat mencabar dek diselimuti krisis Covid-19, semangat kemanusiaan masyarakat Islam setempat terserlah.

Berkata demikian semasa menyampaikan ucapan Hari Raya beliau tadi (23 Mei), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkfili Masagos Mohamed berkata lebih 200 sukarelawan telah tampil untuk mengedarkan 20,000 juadah berbuka puasa setiap hari kepada golongan susah dan pekerja barisan hadapan serta keluarga mereka di bawah inisiatif #SGUnited Buka Puasa sepanjang Ramadan lalu.

Walaupun masjid ditutup, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid dan pertubuhan seperti Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) giat memuat naikkan kandungan agama untuk mengisi kerohanian masyarakat.

Karyawan penjagaan kesihatan Melayu/Islam dan asatizah pula berganding bahu untuk membimbing masyarakat menyesuaikan amalan agama masyarakat dengan penuh persefahaman dan keihsanan.

“Sebenarnya, ada banyak hikmah dalam ujian yang sedang kita hadapi ini.

“Saya berharap bahawa nilai seperti kesabaran, sifat belas kasihan dan daya bingkas yang kita pupuk dan paparkan, akan berterusan selepas bulan Ramadan,” kata Encik Masagos.

Tambahnya, Syawal tahun ini juga berbeza dan beliau melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat saling berkunjung orang tersayang, terutamanya ibu bapa, datuk nenek dan anggota keluarga yang lebih tua.

Namun, pengorbanan ini adalah demi keselamatan dan kemaslahatan keluarga yang tercinta dan semua di Singapura, ujarnya.

“Bagi warga emas, saya berharap anda akan memahami bahawa kita tidak boleh bersama anda secara fizikal kerana kita benar-benar mahu menjaga keselamatan anda.

“Setelah sekatan nasional ke atas lawatan ditarik balik, kita akan melawat anda secara beransur-ansur, supaya pengorbanan kita sejak beberapa bulan yang lalu tidak sia-sia,” kata Encik Masagos.