Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

REAKSI TERHADAP PENAHANAN BELIA RANCANG SERANG SINAGOG

Masyarakat silang agama S'pura sokong komuniti Yahudi di sini

Mar 12, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT silang agama Singapura menyokong padu masyarakat Yahudi di sini di tengah-tengah penahanan seorang belia Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang menyerang Sinagog Maghain Aboth di Waterloo Street.



Malah, aktivis silang agama berkata mereka tidak akan membenarkan sebarang bentuk ideologi radikal merosakkan fabrik sosial masyarakat Singapura.



Menyifatkan tindakan beliau itu sebagai kejadian anti-Semitik, Pertubuhan Antara Agama (IRO) berkata ia sesuatu yang membimbangkan, sama seperti tindakan seorang remaja Kristian Protestan warga Singapura berusia 16 tahun yang dikenakan Arahan Penahanan di bawah ISA Disember lalu kerana membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk membunuh jemaah di dua masjid di sini menggunakan parang.



"IRO prihatin tentang ancaman radikalisasi bertambah yang menjejas golongan muda. Dalam kedua-dua kes itu, belia terbabit dipengaruh media dalam talian yang memperguna sentimen agama bagi menggalak pengganasan.



"Kini, adalah penting pemimpin agama dan ibu bapa berwaspada tentang kandungan sedemikian, yang menyebarkan rasa benci terhadap kumpulan agama dalam talian," kata IRO dalam satu kenyataannya.



Di laman Facebook wadah silang agama hash.peace pula, anggota kehormat kumpulan itu, Encik Mustafa Rasheed, menggalak orang ramai belajar tentang masyarakat agama berbeza di Singapura untuk memupuk pemahaman lebih baik dan menjalin persahabatan.



"Kami menyokong padu masyarakat Yahudi dan tidak akan membenarkan atau menerima sebarang bentuk ideologi radikal yang boleh menjejas fabrik sosial Singapura yang aman," ujarnya.



Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) Esa Masood, dan Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana Rosli Asmara, kelmarin melawat sinagog itu untuk memberi keyakinan tentang persahabatan antara dua masyarakat itu.



Ustazah Liyana berkata inisiatif untuk mengenali dan memahami masyarakat Yahudi di sini dijalankan Pusat Harmoni sejak awal pusat itu ditubuhkan. Antara lain, ia menganjurkan lawatan ke sinagog dan mempamer maklumat intipati semua agama di Singapura, termasuk Judaisme.



Ia juga sering mengundang pemimpin masyarakat Yahudi menyertai kegiatannya.



"Kami percaya usaha mengeratkan hubungan silang agama perlu dilaksana dalam situasi tenang. Ini memudahkan kami berhubung dengan masyarakat Yahudi apabila kita menghadapi krisis.



"Justeru, kami melakukan pendekatan memberi sokongan kepada mereka pada bila-bila masa dan bukan hanya kerana berlaku serangan radikal," ujar Ustazah Liyana.



Seorang aktivis silang agama, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, berkata masyarakat Yahudi di sini telah banyak berjasa membina tamadun di Singapura sejak sebelum kemerdekaan.



Menurut pengarah Human Connection SG itu, mereka telah bekerjasama dalam banyak aktiviti, seperti lawatan ke sinagog, masjid dan tempat ibadah lain serta dialog.



"Kami juga pernah menyambut Ramadan di rumah Duta Israel bersama... ketua agama kaum Yahudi dan mereka pernah juga berkunjung ke rumah saya sewaktu Aidilfitri.



"Dari segi jalinan mesra dan kegiatan, kami akur ia sangat baik dan harus dikekalkan," ujarnya.



Usaha itu boleh diperkukuh, tambah beliau.



Antara lain, kata Ustaz Dr Leyaket Ali aktivis silang agama harus menanganinya dengan lebih jitu, khususnya dalam isu berkaitan stereotaip serta salah faham tentang sesebuah kaum atau agama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >