MASYARAKAT Islam tidak digalakkan untuk mengumpul 40 jemaah bagi menganjurkan solat Jumaat khas sendiri apabila solat itu dihentikan di masjid setempat bagi mencegah penularan Covid-19.
Ini kerana perbuatan demikian masih boleh membawa risiko jangkitan, kata Timbalan Pengarah di Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy.
“Jawatankuasa Fatwa Singapura telah memutuskan sekiranya terdapat keperluan, maka diharuskan untuk menghentikan solat jemaah dan Jumaat bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar iaitu masalah jangkitan umum.
“Perlu ditekankan tujuan mengapa solat jemaah dan Jumaat ditiadakan buat seketika waktu adalah kerana terdapat keperluan untuk mengelakkan daripada orang berhimpun secara beramai-ramai dan meminimumkan risiko kemungkinan jangkitan,” tulis Ustaz Irwan Hadi di Facebook.
Tambahnya, kewajipan solat Jumaat berjemaah di masjid telah gugur, dan solat itu hanya perlu digantikan dengan solat fardhu Zuhur.
Hal ini juga satu rukhsah atau keringanan dalam agama, kata Ustaz lagi.
“Saya memohon agar asatizah juga memerhatikan perkara ini dan tidak menganjurkan solat Jumaat yang menghimpunkan orang ramai dan boleh membawa risiko jangkitan,” tulis Ustaz Irwan.