Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Mayat pembantu rumah ditemui terikat dengan pokok di Tampines

Aug 29, 2019 | 02:38 PM

MAYAT seorang pembantu rumah dari Filipina, Jonalyn Alvarez Raviz, 34, yang ditemui pada bulan September tahun lalu, tidak jauh dari jalan setapak sepanjang Tampines Road, disyaki sebagai kes pembunuhan oleh suaminya yang berasal dari Bangladesh, lapor The New Paper (TNP).

Menurut siasatan oleh koroner terhadap kematian mendiang Raviz pada hari Selasa (27 Ogos), beliau telah bekerja sebagai pembantu rumah untuk majikannya sejak Oktober 2016, dan telah berkahwin dengan seorang pekerja penyelenggaraan dari Bangladesh, bernama Raju Dhaly, sejak 2015.

Mereka hanya dapat bertemu pada setiap hari Ahad kerana Raju tinggal di asrama.

Mahkamah juga diberitahu bahawa mendiang memaklumkan pada majikannya tentang keadaan rumahtangganya yang sulit kerana Raju sangat kasar padanya dan sering mengambil semua wang gajinya. 

Tambahan pula, Raju mempunyai hubungan luar nikah dengan wanita lain yang menyebabkan mendiang ingin meminta cerai dengan suaminya serta bercadang untuk pulang ke negara asalnya di Filipina tanpa memberitahu suaminya.

Oleh itu, Raju telah mengancam untuk membunuh isterinya jika isterinya meninggalkannya.

Raju didapati telah melarikan diri dari Singapura ke Bangladesh sehari selepas kematian isterinya.

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa pada 2 September tahun lepas, Raju telah menaiki kereta api di Clementi dengan membawa beg sling berwarna kuning.

Raviz pula meninggalkan rumah majikannya di Pasir Ris kira-kira pukul 8.30 pagi hari itu.

Pasangan itu bertemu di persimpangan bas Pasir Ris sekitar pukul 9 pagi.

Sekitar pukul 3 petang, mereka dilihat berjalan keluar dari Pasir Ris Park sambil menuju ke stesen MRT untuk menaiki kereta api ke Tampines. 

Mereka kemudian mengambil bas yang menunjukkan mendiang turun dari bas sekitar 4.20 petang di perhentian bas sebelum Defu Lane 2 di Tampines Road.

Sekitar 5 petang, suaminya mengambil teksi secara berseorangan dari Defu Lane 1 untuk pulang ke asrama.

Rakannya berkata, Raju dilihat kembali ke asrama tanpa beg sling berwarna kuningnya itu.

Dia dilihat pergi ke luar asrama dengan bagasinya lalu ke lapangan terbang untuk membeli tiket penerbangan ke Bangladesh.

Dia menelefon salah seorang kawannya sejam kemudian untuk memberitahu bahawa dia tidak akan kembali ke asrama.

Keesokan harinya, dia mengambil penerbangan tanpa memberitahu sesiapa.

Pada hari itu, majikan Raviz membuat laporan kepada polis bahawa pembantu rumahnya tidak pulang ke rumah.

Syarikat Raju juga membuat laporan selepas dia gagal muncul di tempat kerja.

Polis kemudian mencari kawasan hutan di sepanjang Tampines Road dan selepas tiga hari dari waktu Raviz dilaporkan hilang, mayatnya yang sudah reput ditemui di kawasan tumbuh-tumbuhan tebal kira-kira lima meter dari laluan jalan kaki di Tampines Road.

Terdapat tali berwarna kuning di sekeliling lehernya yang terikat pada anak pokok.

Sebab kematiannya disahkan sebagai kecederaan pada leher. 

Darah mendiang juga terdapat pada jeans Raju dan sandalnya di asrama.

Koroner negeri, Kamala Ponnampalam berkata pada hari Selasa, bahawa kes ini boleh disyaki sebagai perbuatan khianat, dan waran pemberkasan untuk Raju telah pun diberikan pada polis.

Dia berkata: "Dalam keadaan ini, saya mendapati kematian Cik Raviz sebagai pembunuhan yang melanggar undang-undang, yang saya agak pasti telah dilakukan oleh suaminya."

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian