MAYAT seorang warga Singapura berusia 52 tahun ditemui di sebuah lebuh raya di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pagi Ahad (13 Sep).
Sekurang-kurangnya 13 kesan tikaman ditemui pada dahi, tengkuk dan lengan lelaki Cina itu.
Luka tetakan pada kepalanya begitu dalam hingga tempurung kepalanya kelihatan dan kepalanya hampir terbelah dua, lapor akhbar Kwong Wah Daily.
Polis Malaysia menemui mayat tersebut pada 9.30 pagi di kawasan belukar dekat Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, untuk bedah siasat.
Menurut ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Penolong Pesurujaya Mohd Nashir Ya, lelaki itu meninggal dunia akibat luka tikaman berganda.
Polis percaya beliau meninggal dunia antara enam dan 12 jam sebelum ditemui, lapor akhbar New Straits Times.
Menurut polis, walaupun warga Singapura, lelaki itu sudah lama tinggal di Hat Yai, sebuah bandar di selatan Thailand.