KEMENTERIAN Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk meningkatkan jumlah penyertaan dalam sukan bola sepak.
Usaha itu akan menyaksikan sekitar 2,000 pelajar lelaki setiap kohort sekolah rendah didedahkan kepada teknik bola sepak di bawah kurikulum nasional Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), kata Setiausaha Parlimen (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua di perbahasan Belanjawan kementeriannya.
Ini adalah antara lapan inisiatif di bawah satu projek nasional bola sepak yang akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada warga Singapura muda membangunkan bakat dan menghimpunkan masyarakat setempat bagi memberi sokongan kepada pasukan Singa negara.
Dalam ucapannya, Encik Chua meminta masyarakat Singapura agar memberikan sokongan terhadap usaha negara untuk menyegarkan semula industri bola sepak setempat, walau apa pun pandangan mereka terhadap keadaan industri itu sekarang.
Kata beliau, kerjasama dengan MOE merupakan satu wawasan inklusif, kerana "kita juga mahu mengembangkan kadar penyertaan bagi bola sepak wanita".
Pemerintah juga akan melibatkan sekolah menengah untuk mengundang mereka menubuhkan Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA), yang membolehkan mereka yang ingin menjadi pemain bola sepak untuk mengembangkan lagi kemahiran dalam sekitaran latihan berdasarkan sekolah dan disokong oleh antara lain, program latihan intensif dan kemudahan yang dipertingkat.
Bagi mereka yang ingin menceburi kerjaya profesional dalam bola sepak, biasiswa dalam dan luar negara juga akan ditawarkan kepada bakat belia terbaik, jelas Encik Chua.
Sementara itu, sistem eko juga akan diperbaiki menerusi kerjasama dengan beberapa rakan.
Misalnya, MCCY akan bekerja rapat dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi sokongan dalam sudut Perkhidmatan Negara (NS) untuk pemain bola sepak elit dan beraspirasi.
"MCCY akan bekerjasama dengan Mindef untuk memanfaatkan saluran sokongan bagi pemain bola sepak yang layak, termasuk kemasukan awal, cuti dan masa berehat untuk anggota NS sepenuh masa untuk berlatih, serta peluang meneruskan latihan dan bermain di peringkat yang tinggi sementara memenuhi tanggungjawab NS," kata Encik Chua.