Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

MCS sampaikan keceriaan Ramadan pada keluarga bekas pesalah

May 04, 2021 | 05:30 AM



MENYAMPAIKAN keceriaan Ramadan kepada keluarga bekas pesalah sambil menekankan komitmen bahawa nasib mereka tidak pernah akan dilupakan.



Demikian mesej yang disampaikan badan sukarela Khidmat Kaunseling Muslim (MCS) dalam program kemasyarakatan 'Ramadan Cheers' yang dianjurkan tahun ini.



Dalam program yang diadakan pada 25 April lalu itu, habuan berupa kuih-muih Hari Raya, kurma dan wang tunai sebanyak $200 disampaikan kepada seramai 62 keluarga pesalah dan bekas pesalah.



Seramai 20 relawan terdiri daripada anggota eksekutif MCS, sukarelawan dan bekas pesalah turut serta dalam acara tersebut yang melibatkan penghantaran habuan berkenaan dari pejabat MCS di Bangunan Hexacube di Changi Road kepada keluarga golongan itu.



"Objektif 'Ramadan Cheers' ini adalah untuk membawa keceriaan kepada keluarga bekas pesalah, terutama kepada anak-anak mereka yang masih kecil.



"Kami harap acara tahunan ini akan mengingatkan para penerima bahawa kami tidak pernah melupakan perjuangan dan cabaran yang mereka hadapi.



"Kami turut berharap projek ini akan mendorong mereka supaya mengekalkan dan meneruskan ikatan yang sedia ada ke arah satu masa depan yang lebih cerah," kata Pengerusi MCS, Encik Allaudin Mohamed, yang juga pengerusi Masjid Khalid.



Ini kali ketujuh acara 'Ramadan Cheers' diadakan.



"Selain habuan berupa sumbangan orang perseorangan, orang ramai dan bekas pesalah sendiri, kami memberi wang tunai sebanyak $200 kepada keluarga pesalah dan bekas pesalah.



"Kami beroperasi berdasarkan prinsip amanah dan kepercayaan. Kesemua penerima adalah orang dewasa. Mereka perlu belajar memenuhi amanah yang diserahkan kepada mereka. Kami yakin, menerusi kepercayaan yang kami beri, mereka mampu melaksanakan amanah ini dan membelanjakan wang itu sebaik mungkin," tambah Encik Allaudin.



Menurut beliau, selain menanamkan sikap amanah, 'Ramadan Cheers' 2021 bertujuan menggalak bekas pesalah menyumbang semula kepada masyarakat.



"Sejak beberapa tahun lalu, projek ini melibatkan bekas pesalah yang menganggotai MCS.



"Kami membimbing mereka berfungsi sebagai Muslim dan warga yang bertanggungjawab, bukan sahaja buat diri sendiri dan keluarga, malah kepada masyarakat umum.



"Kami mahu mereka membalas budi dan jasa baik masyarakat kepada mereka,'' kata Encik Allaudin.



Tahun ini, tambah beliau lagi, MCS turut menyelitkan risalah tentang kursus-kursus peningkatan diri dan kemahiran buat mereka, jika mereka mahu menimba kemahiran baru dan meneroka peluang pekerjaan baru.



MCS ditubuh pada 1978 dengan matlamat membantu bekas pesalah dadah kembali ke pangkal jalan dan memulakan hidup baru.



Ia turut menghulurkan bantuan kepada keluarga pesalah dan bekas pesalah, terutama anak mereka, bagi memastikan mereka terus mendapat pendidikan, mampu berdikari dan menikmati kehidupan yang produktif.




"Objektif 'Ramadan Cheers' ini adalah untuk membawa keceriaan kepada keluarga bekas pesalah, terutama kepada anak-anak mereka yang masih kecil. Kami harap acara tahunan ini akan mengingatkan para penerima bahawa kami tidak pernah melupakan perjuangan dan cabaran yang mereka hadapi."
- Encik Allaudin Mohamed, pengerusi Muslim Counselling Service.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >