Media sosial: Asatizah, Pejabat Mufti adakan latihan baiki kemahiran

ASATIZAH setempat di sini bakal bergabung dengan Pejabat Mufti bagi mengadakan sesi latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka mengguna dan memanfaatkan platform media sosial dengan lebih berkesan.

Antara asatizah yang bakal menyertai inisiatif itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Youth Forum (MYF), Ustaz Zahid Zin.

Apabila ditemui Berita Harian baru-baru ini di pejabat MYF di Arab Street, Ustaz Zahid, 33 tahun, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Selebriti menyusuli penglibatannya dalam drama popular Ustaz Tok Kadi, memberitahu bahawa kebanyakan asatizah di sini mempunyai akaun di media sosial, terutama Facebook.

Bagaimanapun, masih ramai yang belum mengetahui bagaimana mereka dapat memanfaatkannya dengan baik.

"Misalnya ada asatizah yang datang kepada saya dan mengeluh kerana catatan yang mereka muat naik ke Facebook tidak dapat meraih jumlah 'Likes' atau perkongsian yang tinggi.

"Apabila saya tanyakan pukul berapa mereka memuat naik catatan itu, mereka katakan 9 pagi.

"Waktu itu bukan waktu yang baik kerana 'laluan trafik' di Facebook misalnya agak lemah pada waktu itu kerana kebanyakan orang sudah pun masuk pejabat dan bagi belia pula, kelas sudahpun bermula," kongsinya.

Menurut beliau, pada sebelah pagi, masa paling baik ialah antara 6 dengan 8 pagi.

Selain mengetahui masa 'laluan trafik' paling sibuk di media sosial, adalah penting juga untuk mengetahui cara pemasaran berkesan di media sosial apabila memasarkan kelas agama yang dijalankan bagi menarik pengikut daripada 'online' (dalam talian) ke 'offline' (luar talian).

"Memuat naik poster di akaun media sosial asatizah itu sahaja tidak mencukupi kerana ia mungkin akan sekadar mendekati pengikut sahaja.

"Tujuan kita pastinya untuk menarik lebih ramai pengguna media sosial yang lain, justeru kempen pemasaran yang berkesan di Facebook adalah penting agar dapat menarik lebih ramai lagi ke majlis agama yang dianjurkan," kata Ustaz Zahid, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Tambahnya, asatizah tidak seharusnya terhad dengan 'kewujudan' (presence) di Facebook sahaja, tetapi juga di Instagram dan Twitter, yang mempunyai lebih ramai pengguna anak muda.

Kekerapan asatizah memuat naik catatan juga perlu dan bukan sekali-sekala sahaja.

"Untuk mempunyai jumlah pengikut yang tetap, penting bagi asatizah memuat naik catatan secara konsisten di media sosial.

"Saya sendiri memuat naik sehingga 10 catatan hampir setiap hari di ketiga-tiga platform akaun media sosial saya.

"Bagi saya, asatizah setempat mempunyai kandungan atau 'content' berkaitan ilmu agama yang baik, tetapi adalah lebih baik jika mereka tahu bagaimana hendak memanfaatkannya dengan lebih berkesan agar lebih ramai pengguna media sosial dapat didekati.

"Ini juga akan dapat menonjolkan lagi kewujudan asatizah itu dalam talian," ujarnya lagi.

Laporan lanjut:

Guna hashtag kreatif untuk tarik perhatian

Asatizah digesa manfaatkan media sosial agar dikenali ramai

Ustazah berinteraksi dengan 'pelajar' melalui Facebook Live

Berkongsi isu agama, kerja kemanusiaan

Asatizah popular semakin bertambah