Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mekanik SMRT maut, 1 lagi cedera dalam kejadian di depoh AMK

Jun 10, 2021 | 05:30 AM



SEORANG mekanik SMRT terbunuh dan seorang lagi cedera selepas bicu kenderaan yang digunakan untuk mengangkat bas mini yang sedang diperbaiki mereka di depoh Ang Mo Kio itu terlepas.



Kejadian itu berlaku di SMRT Automative Services, sebuah bengkel komersial di depoh itu, yang kini telah dikenakan Perintah Berhenti Bekerja (SWO).



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata salah satu daripada dua bicu yang digunakan untuk mengangkat bahagian depan bas mini terlepas, menyebabkan bas itu menimpa kededua mekanik.



"MOM sedang menyiasat insiden itu dan telah mengarahkan majikan untuk menghentikan semua kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan yang melibatkan bahagian bawah kenderaan di sana."



Semua kerja di bengkel kenderaan lain juga telah diarahkan supaya diberhentikan, untuk menekankan peri penting keselamatan di tempat kerja, kata SMRT apabila dihubungi.



Polis berkata ia menerima panggilan kecemasan sekitar 9.40 pagi pada Ahad lalu di Ang Mo Kio Street 62, alamat bagi depoh bas SMRT di Ang Mo Kio.



Jurucakap polis memberitahu BH dua lelaki, berusia 43 tahun dan 44 tahun dibawa ke hospital. Lelaki yang lebih muda, seorang penduduk tetap, meninggal dunia di sana.



"Siasatan polis ke atas kematian luar biasa itu sedang dijalankan," kata polis.



Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata dua teknisyen itu dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat di Yishun.



Jurucakap SMRT berkata: "Kami berdukacita kerana salah seorang daripada mereka, yang bertugas sebagai pegawai teknikal telah meninggal dunia di hospital akibat kecederaannya.



"Kami telah mengirimkan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan sedang memberi mereka bantuan dan sokongan pada saat sukar ini," kata jurucakap itu lagi.



SMRT berkata kakitangan kedua, seorang warga Malaysia, telah dibenarkan pulang dari hospital dan kini diberi cuti rehat. Ia juga sedang memberikan jagaan dan sokongan kepadanya.



Pengurus besar SMRT Automotive Services Encik Venkatesan P V berkata:



"Kami sedang menolong dalam siasatan MOM (Kementerian Tenaga Manusia) dan Polis."



Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) telah menghubungi keluarga mekanik yang meninggal dunia untuk memberikan sokongan demi membantu mereka melalui tempoh mencabar ini, menurut Setiausaha Eksekutif kesatuan itu, Encik Melvin Yong.



NTWU juga kini bekerjasama dengan SMRT untuk menghulurkan bantuan kepada seorang lagi pekerja yang terjejas.



"Keselamatan di tempat kerja amat penting untuk pekerja kami. NTWU akan bekerjasama dengan SMRT Automative Services dan agensi relevan untuk siasat apa yang berlaku, dan semak kembali langkah dan protokol keselamatan sedia ada jika perlu," kata Encik Yong.



Ini adalah kematian kedua di SMRT dalam tempoh dua tahun.



Pada Mac 2020, seorang pegawai teknikal di syarikat itu meninggal dunia semasa bertugas di Depoh Bishan.



Palang seberat 5 kilogram telah terbang keluar dari peralatan berat dan mengena wajah pegawai tersebut.



Dua kejadian di depoh bas ini berlaku menyusuli dua lagi kemalangan serius bagi SMRT sejak 2016.



Pada 22 Mac 2016, dua pelatih berusia 24 tahun dan 26 tahun terbunuh semasa berada di landasan berhampiran stesen MRT Pasir Ris.



Pada 12 Disember 2018, kaki kanan seorang pekerja berusia 59 tahun terpaksa dipotong selepas ia remuk dalam kemalangan melibatkan kereta api penyenggaraan.



Secara keseluruhan, terdapat 12 kematian di tempat kerja dalam suku pertama tahun ini, tanpa mengambil kira kemalangan trafik. Jumlah ini sama dengan 12 kematian membawa maut yang berlaku dalam tempoh sama pada tahun lalu. Terdapat sembilan kematian sedemikian pada 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >