Subuh
5:56
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Setempat0

DARI MAHKAMAH

Menantu marah dituduh curang, kelar ibu mentua: Dipenjara lapan bulan

May 25, 2019 | 05:30 AM

SEORANG bekas pekerja kesihatan menjadi berang apabila ibu mentuanya meragui kesetiaan perkahwinannya, lalu menyerang wanita berumur itu dengan pisau.

Nurul Natasha Sazali, 23 tahun, semalam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana berulang kali mengelar Cik Fatimah Kalanthar Mastan, 68 tahun, di flat Bukit Batok pada 15 Disember tahun lepas.

Cik Fatimah mengalami kecederaan termasuk luka di belakang tubuh dan lengan kiri. Beliau dirawat dua hari di hospital dan diberi cuti sakit sehingga 31 Disember tahun tersebut.

Namun, mahkamah diberitahu beliau telah memaafkan menantunya itu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ng Jun Chong memetik surat Cik Madam Fatimah bahawa beliau telah pulih sepenuhnya dan "tidak menyimpan rasa marah" terhadap menantunya, menurut laporan The Straits Times.

Nurul kini dibebaskan dengan ikat jamin $15,000 dan akan memulakan hukumannya pada 7 Jun.

Dia masih berkahwin dengan anak Cik Fatimah, Encik Ahmad Shahrul Hameed, 25 tahun, yang bersetuju menjadi penjaminnya.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar 10.30 malam pada 15 Disember tahun lepas, Encik Ahmad meminta ibunya bercakap dengan isterinya yang disyakinya ada hubungan dengan lelaki lain.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada Nurul, yang tidak bekerja, tidak setia kepada suaminya.

DPP memberitahu Hakim Daerah Ong Chin Rhu bahawa semasa Nurul mengurut Cik Fatimah di bilik, Cik Fatimah bersemuka dengannya dan bertanya Nurul jika anaknya "tidak cukup baik untuknya" dan jika "satu suami tidak mencukupi".

Cik Fatimah kemudian pergi ke ruang tamu.

Marah dengan kata-kata itu, Nurul mengekorinya dan menumbuknya beberapa kali di muka menyebabkan bibirnya berdarah.

Nurul kemudian ke dapur, mengambil pisau 17 sentimeter (cm) panjang dan mengelar mentuanya.

Mangsa akhirnya berjaya merampas pisau itu dan membuangnya ke tepi, kata DPP Ng.

Cik Fatimah lari keluar flat, dengan Encik Ahmad menyusul, dan menghubungi polis.

Beliau kemudian dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong sehingga 18 Disember. Beliau tidak mengalami kecederaan kekal.

Peguam bela Aw Sze Min, yang ditugaskan mengendalikan kes di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah, merayu supaya Nurul hanya dipenjara enam bulan, menekankan bahawa dia telah diterima kembali ke dalam keluarga itu.

Bagi kesalahan menyerang Cik Fatimah dengan pisau, dia boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan didenda.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map