Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menantu, mentua bersama urus keluarga dan niaga

Jun 05, 2022 | 05:30 AM



BENAR kata pepatah, kalau dah jodoh tak ke mana.



Padahal semasa berusia 10 tahun, Cik Marina Yubhi Md Yusoff, merupakan anak murid kelas tarian kepada penggiat tari mapan, dan penerima Pingat Budaya, Cik Som Said.



Siapa sangka 16 tahun kemudian, Cik Marina menjadi menantu kepada Cik Som.



Anak tunggal pasangan itu, Encik Adel Dzulkarnaen Ahmad, merupakan suami kepada Cik Marina.



"Memang semasa kecil tu, seperti pelajar lain, saya anggap Cik Som sebagai guru sahaja.



"Tak terlintas pun yang dia akan jadi ibu mentua saya, yang saya gelarkan 'Ma'.



"Inilah yang dikatakan takdir," jelas selebriti setempat itu lagi.



Lebih menarik lagi, kini Cik Marina bersama suaminya, Encik Adel, keduanya 46 tahun, menguruskan Sri Warisan Som Said Performing Arts Limited, bersama ibu dan bapa mentuanya.



Cik Marina kini Pengarah Kreatif syarikat tersebut, sementara suaminya pula Pengarah Urusannya.



Sementara Cik Som, 71 tahun, dan suaminya Encik Ahmad Sawal 78 tahun, ialah pengarah di syarikat tersebut.



Menariknya hubungan mereka begitu rapat sehinggakan Cik Marina dianggap sebagai anak sendiri kepada pasangan veteran itu.



"Saya masih ingat kata-kata ibu mentua saya bahawa dia hanya ada anak lelaki. Dan selepas menjadi menantunya, kehidupannya lebih lengkap - ada seorang anak lelaki dan seorang perempuan," cerita Cik Marina.



Memandangkan usia mereka yang lanjut, Cik Som serta suaminya menyerahkan segala urusan berkaitan syarikat tersebut kepada anak dan menantunya itu.



Dia serta suaminya hanya akan 'singgah' ke pejabat sekitar sekali dua setiap minggu.



Dan pasangan veteran itu akan dirujuk sekiranya timbul sebarang persoalan penting melibatkan syarikat tersebut, yang memerlukan keputusan mereka bersama.



"Bagus juga mereka ada. Dapat juga syarikat ini terus dikekalkan.



"Malah saya lihat banyak perkembangan yang telah berlaku daripada mula-mula ditubuhkan pada 1997," katanya.



Encik Adel hanya mula sertai syarikat tersebut sekitar 2001 sekembalinya daripada pengajian di Universiti Simon Fraser, British Columbia, Vancouver Canada, dalam bidang Perhubungan Massa.



Semasa ditemuramah, Encik Adel mendedahkan penglibatannya dalam syarikat yang ditubuhkan ibunya itu juga tidak disangka.



"Selepas kembali ke Singapura, agak sukar untuk saya dapatkan pekerjaan, maka saya ambil keputusan untuk sertai syarikat ibu saya ini.



"Dengan keizinan Ibu, saya merombak pengurusannya daripada sebuah badan amal kepada syarikat yang mampu meraih keuntungan," jelasnya.



Kini atas kerjasama Cik Som, Encik Ahmajd, Encik Adel dan Cik Marina, syarikat itu mampu mendekati sekitar 5,000 peserta semuda empat tahun sehingga warga senja berusia 70an tahun menerusi program-program mereka.



Syarikat yang berpangkalan di Wisma Geylang Serai (WGS) itu juga menggajikan 15 kakitangan sepenuh masa dan lagi 15 kakitangan sambilan.



Selama lebih 20 tahun syarikat itu berkembang maju, namun tidak dapat mengelak apabila pandemik Covid-19 mula melanda pada 2020.



Encik Adel berkata selama sekitar tujuh bulan, syarikat tersebut langsung tidak meraih sebarang pendapatan menyusuli beberapa langkah jarak selamat yang diambil negara ini termasuk semasa pemutus litar atau Circuit Breaker (CB).



"Pada masa itu, peranan saya berubah kepada seorang 'pemohon geran'. Mujur ada banyak laluan yang boleh diambil bagi memastikan syarikat ini terus bertahan.



"Tapi yang lebih penting lagi, kami sebagai keluarga terus bertahan sebagai satu unit," katanya.



Menurut Encik Adel memang tidak mudah baginya apatah lagi dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah selain memastikan kebajikan kededua orang tuanya tidak terabai.



Keempat-empat anaknya, seorang lelaki dan tiga perempuan, kini berusia antara lapan dengan 18 tahun.



Cik Som yang ditemuramah mengakui tempoh tersebut agak sukar buatnya serta suami.



Jika sebelum itu, pasangan tersebut sering berurusan di luar rumah atau ke pejabat, namun atas sebab-sebab menjaga kesihatan diri, mereka ambil keputusan untuk hanya duduk di rumah.



"Adel dan Marina nasihatkan kami agar terus duduk di rumah. Jika sebelum ini kami biasa ke pasar dan keluar makan, tapi sepanjang tempoh itu, semua urusan tersebut dilakukan kedua-dua anak dan menantu kami.



"Merekalah yang membelikan kami makan dan barangan dapur. Yang sedihnya bukan sahaja tidak dapat bertemu anak cucu, saya sedih apabila Adel dan Marina datang mereka tidak dapat bersalaman dengan kami," ceritanya.



Mujur Cik Marina sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal berdekatan dengan kededua mentuanya itu pada 2018.



Selepas berpindah dari estet perumahan Punggol, pasangan itu kini tinggal di Tampines Avenue 4 - terletak sekitar lapan minit sekiranya berbasikal ke flat Cik Som dan suaminya.



Tup tup. Dua tahun sudah berlalu.



Kini keadaan sudah kembali normal dan hampir setiap hujung minggu, mereka akan berkumpul sekeluarga untuk makan bersama.



Menurut Cik Som, amalan makan bersama anggota keluarganya itu merupakan rutin yang beliau sentiasa sarankan kepada sesiapa sahaja.



"Amalan ini mampu eratkan hubungan antara kami. Bayangkan kadangkala, banyak perkara yang dapat dikongsi - termasuk yang peribadi - semasa sesi makan bersama itu.



"Dan sebagai yang tua, kami akan cuba berkongsi pandangan kami dengan mereka," ujar Cik Som.



Namun, bukan sekadar makan bersama dan saling berkunjung antara satu sama lain sahaja.



Cik Som dan suami serta keluarga anaknya itu juga sering melancong bersama dan pernah melakukan ibadah umrah bersama. Jelas menerusi cara sedemikian, silaturrahim antara mereka terus terjalin utuh.



Menurut Cik Marina: "Begitu indah susunan Tuhan.



"Bukan sahaja saya menjadi sebahagian daripada anggota keluarga mereka, tapi saya juga menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.



"Yang pasti hubungan kekeluargaan sebegini akan kami semai dalam jiwa anak-anak kami juga."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >