Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mendaki Sense pertingkat program bantu pencari kerja

Rangka kerja Ace It! akan bantu kenal pasti kemahiran, kecekapan, hubungkan pencari kerja kepada sektor yang beri peluang kerjaya lebih baik
Oct 20, 2019 | 05:30 AM



PENCARI kerja boleh mendapatkan bimbingan langkah demi langkah daripada Mendaki Sense yang kini menawarkan program dipertingkat bagi membantu pekerja melakar haluan kerjaya dan latihan.



Daya usaha yang digelar Ace It! itu satu peningkatan daripada perkhidmatan pemadanan dan penempatan pekerjaan yang ditawarkan sebelum ini bagi mereka yang berusaha mencari kerja menerusi cabang latihan Yayasan Mendaki itu.



Program tersebut dilancarkan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, pada pameran kerjaya 'Jump' di Kelab Masyarakat Nee Soon Central semalam.



Di bawah Ace It!, pencari kerja, termasuk mereka yang terjejas oleh landskap pekerjaan yang sering berubah, atau mereka yang mahu meneroka dan menimbangkan pilihan kerjaya baru, akan dibimbing penasihat kerjaya tentang cara terbaik memandu arah perjalanan pembangunan profesional dan kerjaya mereka.



Rangka kerja Ace It! akan membantu pencari kerja mengenal pasti kemahiran dan kecekapan, serta menghubungkan mereka kepada sektor yang mempunyai peluang kerjaya lebih baik.



Mereka juga akan dibantu meletakkan sasaran bagi kerjaya mereka dan dibimbing cara mengambil tindakan bagi mencapai matlamat itu.



Bercakap kepada media pada pameran kerjaya itu, Dr Faishal berkata daya usaha Ace It! dapat memperkasa pencari kerja dan memberi mereka peluang mengambil tindakan untuk memahami landskap pekerjaan dan sektor penting pada masa kini.



"Ini satu daya usaha yang baik kerana landskap pekerjaan kita pun semakin kompleks dan dengan perubahan industri tertentu, kita perlukan daya tahan dan usaha yang dilakarkan oleh pencari kerja untuk melihat bagaimana bukan sahaja mereka boleh menyediakan diri mereka tetapi meningkatkan tahap dan bagaimana mereka boleh menjalankan pekerjaan itu apabila mereka mendapatnya," kata Dr Faishal.



Pengarah eksekutif Mendaki Sense, Encik Mohamad Faiz Selamat, berkata pihaknya berharap dapat melaksanakan Ace It! kepada semua pencari kerja yang datang ke Mendaki Sense iaitu lebih 3,000 orang setahun.



"Memang Mendaki Sense sudah lama memperkenalkan program pemadanan kerja dan membantu orang mendapatkan kerja tapi kini kami melancarkan Ace It! kerana ia satu rangka kerja dengan kita akan membawa seseorang setapak demi setapak menuju ke pekerjaan yang mereka mahu.



"Ia bukan hanya untuk memberi mereka pekerjaan bahkan melakarkan cara meningkatkan kemahiran mereka menuju ke kerjaya yang lebih baik," kata Encik Faiz.



Sementara itu, Mendaki Sense telah bekerjasama dengan beberapa penyedia latihan bagi menawarkan pakej modul dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta runcit, khidmat sosial serta penjagaan kesihatan dan keselamatan.



Contohnya, ia bekerjasama dengan Eduquest bagi menawarkan modul berkaitan makanan dan minuman yang akan melengkapi peserta dengan kemahiran seperti khidmat pelanggan dan cara membuat kopi dan kek.



Harga bagi keseluruhan program itu bermula daripada $274.05.



Encik Faiz berkata masa yang diperlukan bagi menyelesaikan pakej modul itu bergantung pada peserta dan mungkin boleh dihabiskan dalam masa beberapa bulan atau setahun.



Pameran kerjaya semalam disertai 16 majikan dan lima penyedia latihan yang secara keseluruhan menawarkan lebih 900 kerja kosong dalam sektor seperti khidmat profesional, khidmat sosial dan penjagaan kesihatan, serta keselamatan.



Ini kali keenam pameran kerjaya Jump diadakan sejak ia diperkenalkan tahun lalu dengan matlamat menjangkau kepada masyarakat agar giat meneroka peluang menambah kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, yang menyokong pembangunan profesional mereka dan meningkatkan mobiliti kerjaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >