Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG HARI RAYA: MASJID YUSOF ISHAK

Tingkat kebersihan demi kesejahteraan jemaah

Masjid-masjid sekitar Singapura akan mengalu-alukan kedatangan jemaah untuk solat Hari Raya Aidilfitri esok. Ini merupakan kali pertama selepas dua tahun, masjid mampu menampung bilangan jemaah yang lebih besar dengan mengadakan sehingga tiga sesi. BERITA HARIAN melihat bagaimana dua masjid membuat persiapan untuk detik bersejarah ini.
May 02, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN lebih ramai orang kini boleh menghadiri solat berjemaah di masjid setelah had kapasiti bagi acara lebih 1,000 orang ditiadakan menyusuli kelonggaran ke atas sekatan Covid-19, Masjid Yusof Ishak masih tetap akan mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan para jemaah yang hadir bersolat Hari Raya Aidilfitri esok.



Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC), Encik Khalid Shukur, berkata Masjid Yusof Ishak bersedia untuk menerima sekitar 4,400 jemaah bagi solat Hari Raya yang akan dibahagikan kepada dua sesi.



Sebelum pandemik, masjid yang terletak di Woodlands Drive 17 itu boleh menampung seramai 3,500 jemaah pada satu-satu masa.



Antara langkah yang akan diambil termasuk membersihkan secara menyeluruh ruang solat serta memastikan ruang solat tersedia bagi mereka yang telah membuat tempahan.



Ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Khalid berkata:



"Kami pastikan ruang solat akan dibersihkan dan kami akan melakukan kerja menyah kuman supaya para jemaah dapat merasakan keselesaan, ketenangan dan akan khusyuk semasa beribadah di masjid.



"Sekiranya mereka sudah membuat tempahan, mereka akan dapat kepastian bahawa ruang atau tempat solat mereka terjamin dan mereka akan berasa tenang dan lapang."



Minggu lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengumumkan bahawa lebih banyak ruang solat bagi solat Hari Raya Aidilfitri akan disediakan, iaitu sebanyak 206,000 ruang berbanding 153,250 yang diumumkan pada 23 April.



Sistem tempahan solat dan sesi solat berjemaah juga akan terus dilaksanakan di masjid-masjid serata negara.



Ini akan membolehkan jemaah mendapat pengalaman solat yang lebih bermakna dan pada masa yang sama membantu pihak masjid mengawal keadaan bagi mengelak kesesakan.



Sejajar dengan pengumuman terbaru ini, yang juga akan menyaksikan sebanyak 50 masjid masih melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS), termasuk Masjid Yusof Ishak, Encik Khalid berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan khidmat mereka kepada jemaah bagi memastikan solat Hari Raya dapat dijalankan dengan lancar.



"Pengalaman sebelum Covid-19, masjid-masjid biasanya sesak dengan para jemaah kerana mereka inginkan solat pada waktu tertentu, pada waktu yang mereka inginkan.



"Disebabkan keterbatasan ruang yang kita hadapi di masjid-masjid, kita harus menanggung dan menangani masalah kesesakan di masjid pada waktu itu.



"Saya rasa dengan pengalaman yang diraih semasa Covid-19, jemaah sudah terbiasa. Mereka sudah tahu amalan, sudah tahu untuk menempah dapatkan tempat untuk solat di masjid.



"Jadi ini satu rahmah saya lihat, sebagai satu perkara di mana kita menunjukkan kerjasama untuk mendirikan solat pertama ataupun solat kedua. Jadi ini akan melicinkan lagi operasi dan pergerakan para jemaah di masjid," tambah Encik Khalid.



Menurut beliau, pihak masjid akan mengerahkan antara 10 dengan 12 kakitangan dan sukarelawan untuk membantu pada pagi Syawal nanti.



Kakitangan dan sukarelawan ini antara lain akan membantu dalam menguruskan keadaan di dalam masjid seperti memastikan setiap jemaah membawa sejadah mereka sendiri dan sentiasa memakai pelitup.



Di samping itu, beberapa sukarelawan akan membantu mengarahkan trafik dan kenderaan di luar masjid bagi mengelak kesesakan jalan raya.



Dengan langkah-langkah yang akan dilaksanakan masjid pada solat Hari Raya, Encik Khalid juga berharap setiap jemaah dapat juga memberikan kerjasama mereka.



"Kami akan cuba untuk menguar-uarkan kepada semua penduduk berdekatan masjid dan para jemaah supaya menurut apa yang telah disampaikan oleh pihak berkuasa dan juga pihak media supaya jemaah membuat tempahan yang sewajarnya. Jadi ini bagi melicinkan keadaan dan mengelak kesesakan," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >