Menyanyi bukan sekadar dari mulut tapi dari hati: Papa Rok

LAGU kebangsaan, Majulah Singapura, bukanlah lagu yang hanya boleh dinyanyikan dengan 'mulut'.

Sebaliknya, lagu azimat itu memerlukan penyanyinya menyanyikannya dari hati.

Lantaran itu, ramai yang tersentuh malah menangis mendengar cara persembahan Majulah Singapura yang didendangkan 'Papa Rok', Ramli Sarip.

Ramli, 67 tahun, berkata demikian dalam satu rakaman podcast #NoTapis terbitan Berita Harian (BH).

Dalam rakaman yang dilakukan dua hari selepas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) - di mana Ramli telah dijemput menyanyikan Lagu Kebangsaan sebagai penutup tirai perbarisan - beliau berkata nyanyiannya itu mencerminkan semangat patriotisme dalam jiwanya.

"Keikhlasan itu kita tidak boleh bohong. Orang lihat, dengar dan rasa. Ia bukan sesuatu yang kita boleh palsukan," ujarnya.

Menceritakan pengalamannya, Ramli berkata beliau dihampiri dua anak muda setelah selesai menunaikan solat di Masjid Sultan.

Menurutnya, salah seorang pemuda itu memeluknya dan menangis menceritakan bagaimana rendisi Majulah Singapura nyanyian beliau itu benar-benar menyentuh hatinya.

"Ramai yang melihat keadaan itu di masjid, ini bukan satu rekaan. Saya pun terkejut dengan reaksi pemuda itu, tapi saya bersyukur nyanyian saya meninggalkan kesan dalam jiwa rakyat," katanya.

Namun beliau akur dengan reaksi sebahagian orang yang tidak bersetuju dengan gaya nyanyiannya.

Lagenda rok itu, yang popular bersama band Sweet Charity pada tahun 1970-an, berkata beliau menghormati pandangan sesetengah orang itu, asalkan rasa kurang selesa mereka itu dilahirkan secara beradab.

"Terpulang pada masing-masing, tapi seperti yang saya katakan, saya nyanyikan Majulah Singapura dengan keikhlasan dan kejujuran dengan cara yang saya tafsirkan sebagai paling sesuai bagi menyampaikan apa yang saya rasakan.

"Selebih dari itu, saya tidak dapat mengawal perasaan orang lain," katanya.

Ikuti episod penuh #NoTapis - Bersama 'Papa Rok' Ramli Sarip: "Majulah Singapura bukan sekadar lagu, tapi satu doa" - yang kini boleh dimuat turun atau didengar secara penstriman di aplikasi Spotify atau portal digital akhbar ini, www.BeritaHarian.sg.

#NoTapis turut menampilkan korensponden BH, Shahida Sarhid, sebagai pengacara bersama personaliti terkenal, Suhaimi Yusof.

Sajian penuh podcast #NoTapis boleh diikuti di http://bit.ly/NoTapis.

Galeri Foto