Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menyebar seni tradisional Melayu di kota London

Mar 25, 2018 | 05:30 AM



WALAUPUN Cik Muslihah Mujtaba dan Cik Siti Farahnazirah Muhammad Fadzali sibuk dengan pengajian di London, peluang untuk mengharumkan seni persembahan tradisional Melayu di kota Inggeris itu terlalu menggoda untuk dilepaskan.



Lantaran itulah, kededua mereka tidak teragak-agak merebut peluang itu setelah diundang oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di London untuk mewakili Singapura di Karnival Keluarga Komanwel 2018 baru-baru ini di Westminster Abbey.



Menurut Cik Muslihah, mereka menyarankan kepada pihak penganjur untuk bukan hanya membuat persembahan tarian tradisional Melayu, malah menerapkan unsur-unsur tarian tradisional kaum-kaum Singapura yang lain.



"Kami gembira apabila cadangan kami diterima, kerana kami rasa ini peluang baik untuk mengetengahkan persembahan tradisional Melayu, dan pada masa yang sama menekankan ciri-ciri kepelbagaian budaya di Singapura," kata beliau.



Cik Muslihah telah menuntut di London sejak 2015 memburu ijazah Sarjana Muda Seni dalam Amalan Teater - Pengurusan Penerbitan Teknikal - The Royal Central School of Speech and Drama, Universiti London.



Cik Farahnazirah pula kini menuntut dalam tahun kedua program ijazah Sarjana Sains dalam Sains Tarian (MSc Dance Science) di Trinity Laban Conservatoire of Music and Dance.



Mereka berkenalan sejak membuat persembahan bersama di Hari Masyarakat Singapura tahun lepas di Kensington Town Hall.



Cik Farahnazirah berkata persiapan bagi persembahan Karnival Keluarga Komanwel itu sememangnya mencabar.



Mereka memulakan persiapan sejak Disember tahun lalu, mengimbangi masa antara sekolah dan latihan.



"Selama cuti sekolah pada hujung 2017, kami sentiasa berhubungan untuk memastikan kami cukup bersedia untuk persembahan termasuk menyiapkan pakaian tradisional dan alat-alat persembahan," kata Cik Farahnazirah.



Beliau menambah: "Saya mengalami sedikit cabaran mengimbangi pelajaran dan latihan kerana saya juga sedang menguruskan suatu persembahan lain. Namun Alhamdulillah saya dapat mengatasinya."



Di samping persembahan, dua rakan itu juga mengadakan bengkel susulan bagi orang ramai mempelajari dengan lebih mendalam mengenai tarian Melayu dan lain-lain aspek kebudayaan masyarakat Melayu.



Cik Farahnazirah berkata, mereka mengambil masa untuk menganjurkan bengkel tersebut kerana ingin menyediakan wadah, termasuk kepada teman-teman sekuliahnya, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tarian Melayu.



"Menerusi kursus saya, saya membuat penyampaian tentang keperluan fisiologi penari kontemporari Melayu dan dapat berkongsi tradisi dan budaya saya bersama rakan-rakan dan pensyarah, malah menjemput mereka ke persembahan tarian Melayu," kata beliau.



Bagi Cik Muslihah pula, beliau mahu menyumbang kepada usaha memelihara dan melestari budaya Melayu dalam dunia yang semakin moden ini.



"Sebenarnya, menerusi tarian Melayu, terdapat banyak nilai seperti tatatertib, sopan santun dan budi bahasa, yang boleh dipelajari oleh sesiapa saja tanpa mengira usia, bangsa atau agama," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >