Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menyemarakkan semula Jawi

Dr Hirman: Jawi ada masa depan dalam ruang budaya, sosial dan komersial
Sep 23, 2018 | 05:30 AM



Dengan perubahan zaman dan realiti semasa, bahasa Melayu tulisan Jawi telah banyak berkurang. Namun terdapat usaha memelihara Jawi daripada pupus. SUHAIMI MOHSEN (suhaimi@sph.com.sg) meninjau beberapa inisiatif melestarikan Jawi.



TULISAN Jawi telah berkurang tetapi belum pupus dan malah ada potensi kembali berkembang.



Berkongsi pengamatannya, guru bahasa Melayu dan pensyarah bersekutu sambilan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) yang aktif mempromosikan Jawi, Dr Hirman Mohamed Khamis, berkata minat terhadap Jawi masih ada walau telah banyak berkurang.



"Yang penting ia dapat dikekalkan dan usaha mengembangkannya dimulakan.



"Ada sekumpulan kecil pencinta Jawi dan berusaha menghidupkannya kerana Jawi ada nilai sejarah dan estetika.



"Kita perlu menghidupkannya, memasukkan kembali dalam kehidupan masyarakat, sedikit demi sedikit. Kalau tidak, ia akan mati," kata Dr Hirman, 47 tahun, yang aktif mempromosikan Jawi menerusi bengkel yang diadakan dari masa ke masa.



Beliau meminati tulisan Jawi sejak menuntut di madrasah Masjid Mujahidin.



Minat itu pudar sementara tetapi kembali mekar setelah menjadi guru dan pemerhatiannya terhadap penggunaan tulisan Arab di semua papan tanda di Tanah Suci ketika menunaikan haji pada 2011.



Beliau berfikir alangkah baik jika Jawi dapat dikembalikan, walau tidak setanding Rumi, dan dapat bergerak seiiring dengan Rumi.



"Kalau ada sebilangan orang Melayu dapat mempraktikkannya, ia amat baik.



"Kita perlu menerapkan kembali kerana ia adalah sebahagian daripada identiti yang hampir hilang, warisan yang datuk nenek kita kembangkan sebagai satu tamadun hebat setelah memeluk agama Islam dan terkandung dalam ribuan manuskrip Melayu, pengetahuan sejarah tentang orang-orang sebelum kita, pelbagai ilmu tentang kehidupan, sains teknologi, adat budaya zaman lampau, berkenaan leluhur orang Melayu, yang dapat dimanfaatkan masyarakat," kata Dr Hirman yang memiliki koleksi buku dan penerbitan Jawi.



Beliau telah meninjau penggunaan Jawi secara terperinci menerusi tesis 'Pelestararian tulisan Jawi di Singapura' bagi Ijazah Doktor Falsafahnya di Universiti Putra Malaysia (UPM).



Dalam tesis itu, Dr Hirman menganalisis kegemilangan hingga kemerosotan Jawi di Singapura, meneliti sikap terhadap Jawi dan meninjau sama ada Jawi boleh diperteguhkan dalam masyarakat.



Antara lain, beliau mendapati penggunaan Jawi merosot sejajar dengan kemerosotan penggunaan banyak bahasa di dunia.



Beliau memetik penyelidikan beberapa pakar seperti David Crystal (Language Death), mengenai kemerosotan bahasa akibat faktor seperti penjajahan, modernisasi dan globalisasi.



Apabila bahasa dominan seperti bahasa Inggeris masuk bersama nilai nilai ekonomi (ilmu, pekerjaan dan sebagainya), orang beralih ke bahasa itu. Lama-kelamaan bahasa tradisi merosot, malah ada yang pupus.



Ia adalah fenomena global di banyak negara, termasuk Singapura.



Masyarakat Turkey, yang dulu menggunakan aksara Arab dalam bahasa mereka, juga berubah menggunakan aksara greek serupa a,b,c.



Bagi bahasa Melayu khususnya, tulisan rumi lebih mudah dan dwifungsi kerana digunakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Lantas, penggunaan Jawi berkurang.



Malaysia misalnya rasmi menggunakan rumi dalam pelbagai urusan kerajaan, pendidikan dan penerbitan sejak 1963 dan ini mempunyai implikasi terhadap Jawi.



Malah kemahiran penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, terutama kanak-kanak, juga merosot kerana semakin ramai keluarga Melayu bertutur bahasa Inggeris kerana bahasa itu menyerap dalam banyak aspek kehidupan - pendidikan, pekerjaan, media, Internet dan sebagainya.



Akur bahawa keperluan Jawi dari sudut praktikal dalam kehidupan modern memang kurang, beliau berkata Jawi masih relevan berpotensi dikembangkan.



Dari segi masa lampau, beliau berkata Jawi adalah sebahagian sejarah dan ada kaitan dengan jati diri.



Bangsa Melayu memeluk Islam yang bersandarkan Al-Quran dalam bahasa Arab. Daripada sini terbentuk tulisan Jawi menggunakan aksara Arab, dan terbina tamadun Melayu-Islam di seluruh Nusantara.



Selama lebih 700 tahun, ribuan kitab ditulis yang mengandungi pelbagai ilmu (bukan sahaja ilmu agama), terpahat pada pelbagai artifak termasuk nisan dan dinding bangunan.



Menurutnya, lagi ribuan kitab, manuskrip dan artifak bertulisan Jawi tersimpan di beberapa tempat di seluruh dunia termasuk London, Leiden dan Washington (Library of Congress). Setiap negara di Nusantara mempunyai khazanah Jawinya sendiri termasuk di Perpustakaan Negara Singapura.



Maka itu, Dr Hirman berkata Jawi perlu dilestari dan diperkasa supaya dapat menjadi warisan dan tanda jati diri rumpun bangsa Melayu, terutama yang beragama Islam; mengkaji bahan-bahan lama; kemahiran menulis dan membaca Jawi boleh menjadi pelengkap pembelajaran bahasa Arab dan pengajian Al-Quran bagi pelajar madrasah/pengajian Islam, terutama dari segi etimologi perkataan.



Beliau berasa Jawi ada masa depan dalam ruang budaya, sosial dan komersial.



"Jawi mempunyai nilai dan potensi komersial yang besar. Hasil kajian manuskrip dan artifak amat berharga bagi penerbitan, muzium dan produksi dokumentari (video).



"Pelbagai produk tulisan khat Jawi (baik tulisan tangan tradisional mahupun hasil perisian/grafik komputer) boleh dihasilkan untuk hiasan dinding, kad ucapan, poster motivasi, dan pelbagai produk lain.



"Tulisan khat yang besar (yang memaparkan peribahasa, gurindam 12, terjemahan ayat Al-Quran, karya puisi tempatan dan sebagainya boleh dijadikan hiasan dinding di masjid, madrasah dan bangunan.



"Penghayatan Jawi dari segi pendidikan, sejarah, budaya, estetika dan perniagaan dapat dilakukan oleh semua rakyat Singapura tanpa mengira bangsa dan agama," kata beliau.



Beliau memberi contoh terdapat manuskrip (1930-an) belajar tulisan Jawi bagi orang Cina.



"Tulisan jawi ini banyak aspek budaya, astetik, sejarah, akademi yangboleh kita kembangkan dan libatkan rakan-rakan Melayu dan bukan Islam," kata Dr Hirman.




"Kita perlu menerapkan kembali kerana ia adalah sebahagian daripada identiti yang hampir hilang, warisan yang datuk nenek kita kembangkan sebagai satu tamadun hebat setelah memeluk agama Islam dan terkandung dalam ribuan manuskrip Melayu, pengetahuan sejarah tentang orang-orang sebelum kita, pelbagai ilmu tentang kehidupan, sains teknologi, adat budaya zaman lampau, berkenaan leluhur orang Melayu, yang dapat dimanfaatkan masyarakat."
- Dr Hirman Mohamed Khamis, guru bahasa Melayu dan pensyarah bersekutu sambilan di SUSS dan penggiat Jawi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >