AGENSI bantuan bencana Singapura, Mercy Relief, sedang mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir kilat di daerah timur laut Bangladesh dan India.
Hujan lebat yang berterusan sejak 17 Mei yang melanda daerah timur laut Sylhet dan Sunamganj di Bangladesh dan wilayah Assam di India telah mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh sehingga menjejaskan lebih tujuh juta penduduk.
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (FFWC) di Bangladesh, dalam tempoh sebulan, 94 peratus kawasan di Sylhet dan 84 peratus Sunamganj telah ditenggelami air.
Dengan lebuh raya serantau utama dan jalan masuk di bawah air, perhubungan dan pengangkutan ke kawasan yang terjejas telah tersekat, mengakibatkan kelewatan dalam bantuan, menurut satu siaran media agensi tersebut semalam.
Usaha pihak berkuasa tempatan sedang giat dijalankan. Bagaimanapun, berikutan hujan lebat, lebuh raya, jalan raya dan jambatan di sekitar kawasan yang paling teruk terjejas masih ditutup akibat tanah runtuh dan paras air yang meningkat.
Mercy Relief telah menghantar pasukan ke Bangladesh dan akan bekerja bersama rakan kerja, Human Aid Bangladesh Foundation (HABF), untuk menyediakan dan mengagihkan bantuan kecemasan dalam bekalan makanan dan perubatan kepada keluarga yang paling teruk terjejas dan paling terdedah di daerah Sylhet dan Sunamganj.
Bagi wilayah yang terjejas di India, Mercy Relief akan bekerjasama rapat dengan North-East Affected Area Developmental Society (NEADS).
Orang ramai boleh membuat sumbangan mereka melalui saluran berikut sehingga 6 Ogos:
Derma kad kredit melalui laman web Mercy Relief: https://www.mercyrelief.org/donate/.
Cek berpangkah dibuat kepada "Mercy Relief Limited". Pada bahagian belakang cek, sila nyatakan "South Asia Flood Relief 2022", serta nama dan alamat e-mel penderma, dan e-mel ke Blok 160 Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568, Singapura 310160.
Pindahan dana ke Akaun Semasa DBS Mercy Relief 054-900742-0.