Subuh
5:29
Syuruk
6:51
Zuhur
12:54
Asar
4:17
Maghrib
6:54
Isyak
8:08
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

Mesej CNY PM Lee: Keluarga utuh, negara kukuh

Jan 24, 2020 | 04:00 AM

 

 

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura perlu menjadi masyarakat yang meraikan dan menyokong keluarga terutama pasangan yang baru memulakan keluarga.

“Keluarga yang utuh menjadikan negara yang kukuh,” ujarnya.

Dalam mesej Tahun Baru Cina (CNY) tahun ini, Encik Lee turut menukil bagaimana sambutan CNY kali ini berlangsung ditengah-tengah rasa cemas yang berlaku di seluruh dunia.

Beliau memberi contoh kejadian banjir di Jakarta, kemarau di Thailand, kebakaran hutan di Australia, pergolakan di Timur Tengah, bantahan di Hong Kong dan Perancis serta koronavirus baru di China. 

Menurut Encik Lee, beliau sedang memantau dengan teliti persediaan Singapura menghadapi koronavirus dari Wuhan itu. 

Menyentuh tentang kes pertama yang baru dikesan di Singapura, beliau berkata: 

“Ini dijangkakan berdasarkan jumlah pelancong antarabangsa yang tinggi di sini. 

“Namun, kami telah mempersiapkan diri untuk menghadapi keadaan seperti ini sejak Sars pada 2003.” 

Kementerian Kesihatan (MOH) sudah pun memulakan langkah-langkah untuk menghadapi virus yang merebak, yang sejauh ini tidak kelihatan seteruk Sars, katanya. 

Tambah Encik Lee: “Warga Singapura harus kekal tenang namun tetap berwaspada sementara kita melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan semua orang selamat dan sihat.”  

Katanya, warga perlu bersyukur Singapura menikmati kedamaian dan kestabilan yang membolehkan masyarakat berkumpul, seperti setiap tahun, untuk meraikan Tahun Baru Cina disamping keluarga dan sahabat handai.

Menyentuh tentang pentingnya institusi keluarga, PM Lee menggariskan bagaimana pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan negara bertujuan untuk menyokong keluarga muda.

Ini termasuk meningkatkan subsidi prasekolah untuk mengurangkan beban kewangan membesarkan anak, menggalak kerja fleksibel untuk menyokong ibu bapa dan pengasuh serta memperkenalkan Pengumpulan Berdasarkan Mata Pelajaran (SBB) Penuh di sekolah menengah untuk mengurangkan tekanan terhadap pelajar dan ibu bapa.

“Saya berharap langkah-langkah ini akan menggalak lebih ramai pasangan muda untuk memulakan keluarga baru atau menambah anggota keluarga mereka,” kata PM Lee.

Meski pemilihan pasangan hidup dan mempunyai anak merupakan satu keputusan peribadi, tetapi melalui pengalaman Encik Lee sendiri, tiada yang lebih seronok daripada mendengar gelak tawa anak-anak dan cucu terutama semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Tahun ini, menurut Encik Lee, beliau tidak berpeluang menikmati tradisi makan malam bersama atau ‘reunion dinner’ kerana sedang dalam perjalanan pulang dari Davos, Switzerland.

Beliau telah ke sana sempena mesyuarat tahunan ke-50 Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Walaupun demikian, beliau gembira dapat meraikan Tahun Baru Cina dengan masyarakat Singapura di Zurich.

“Tidak kira di mana pelosok dunia kita berada, seperti ada sesuatu yang istimewa dan mengharukan yang menyatukan rakyat Singapura bersama selain tempat yang istimewa dalam hati kita untuk Singapura,” katanya.

Beliau turut mengingati warga agar berterima kasih kepada mereka yang bekerja pada musim cuti panjang ini.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian