KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warga Singapura yang akan atau sudah berada di Bangladesh supaya berjaga-jaga berikutan serangan pengganas di sebuah kafe awal bulan ini.
Mereka sangat dinasihatkan supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga demi keselamatan peribadi mereka, kata MFA dalam notis perjalanan terbarunya pada Rabu (27 Julai).
Ini termasuk memantau berita dengan teliti dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Warga Singapura juga, jika boleh, harus mengelakkan perhimpunan awam, tempat sesak dan lokasi popular dalam kalangan orang asing, serta membeli insurans perjalanan menyeluruh.
Serangan oleh kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) di sebuah kafe di Dhaka pada 1 Julai meragut nyawa 20 tebusan, kebanyakan mereka warga asing.
Seramai sembilan orang turut terbunuh, iaitu dua pegawai polis, seorang tukang masak serta seorang pembantu tukang masak di kafe itu, dan lima lelaki bersenjata.
MFA menggalak rakyat Singapura mendaftar dalam talian (eRegister) dengannya di https://eregister.mfa.gov.sg/.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera boleh menghubungi Konsulat Singapura di Dhaka atau pejabat bertugas MFA di:
Konsulat Republik Singapura di Bangladesh (Dhaka)
Ventura Avenue
(Tingkat 5), 8/B Gulshan Avenue
Bir Uttam Mir Shawkat Sharak,
Dhaka 1212, Bangladesh
Tel: + 880-2-988-0404
Faks: + 880-2-988-3666
E-mel: singcon_dha@mfa.sg
Pejabat Bertugas Kementerian Ehwal Luar (24 jam)
Tanglin, Singapura 248.163
Tel: +65 6379 8800/8855
E-mel: mfa_duty_officer@mfa.gov.sg