Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

KORONAVIRUS: PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN M'SIA

MFA: Pekerja M'sia miliki permit kerja dibenar terus bekerja di S'pura

Mar 21, 2020 | 05:30 AM

PEKERJA Malaysia yang memiliki permit kerja Singapura akan terus dibenarkan bekerja di sini, dengan ujian kesihatan dan tempat tinggal yang sesuai diatur buat mereka.

Selain itu, Malaysia memberi jaminan akan terus memudahkan pengangkutan bekalan makanan untuk masuk ke Singapura.

Kededua Singapura dan Malaysia juga akan terus memudahkan laluan dua hala bagi barangan komersial di pusat pemeriksaan masing-masing, demikian dinyatakan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu mendedahkan bahawa Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, telah berbual bersama Menteri Kanan dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melalui telefon kelmarin (19 Mac) membincangkan penyelarasan dua negara berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia yang berlangsung selama dua minggu.

Ini termasuk urusan memastikan kesihatan warga Singapura dan Malaysia di samping mengurangkan gangguan kepada syarikat, pekerja dan warga kededua negara.

Dua negara itu turut bersetuju untuk membentuk tiga kumpulan kerja di bawah Jawatankuasa Kerja Khas bagi Covid-19, dengan dua menteri kanan itu menjadi pengerusi bersama, untuk menyelaras pergerakan warga, perjalanan barangan, dan isu operasi harian di pusat pemeriksaan darat.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar berasingan di Malaysia yang dilapor The Straits Times (ST), Datuk Ismail Sabri berkata:

"Saya faham ada perbincangan. Kededua negara telah bersetuju bahawa semua pekerja (Malaysia) akan terus bekerja di sana (Singapura).

"Pemerintah Singapura telah bersetuju menetapkan tempat tinggal buat mereka di Singapura selama dua minggu.

"Oleh itu, mereka akan pergi ke Singapura dan tinggal di tempat tinggal yang disediakan buat mereka dan apabila mereka pulang ke Malaysia, Singapura akan buat ujian kesihatan ke atas mereka."

ST sebelum ini melaporkan bahawa Malaysia akan menarik balik secara sementara larangan perjalanan warganya untuk ke Singapura bagi tujuan bekerja, dengan syarat mereka diberi tempat tinggal di sini selama tempoh perintah kawalan itu.

Malaysia melaksanakan perintah kawalan selama dua minggu bermula Rabu lalu sebagai sebahagian usaha mengawal penularan kes Covid-19 yang meningkat.

Malaysia semalam mencatatkan 130 kes baru jangkitan virus itu, mencapai jumlah 1,030 - tertinggi di Asia Tenggara - selain dua kematian.

Semua warga Malaysia telah dilarang ke luar negara, termasuk kira-kira 300,000 warganya yang berulang-alik ke Singapura hampir setiap hari bagi tujuan kerja atau belajar.

Pemerintah Singapura bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyediakan tempat tinggal sementara buat pekerja yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Pada Rabu lalu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing berkata kebanyakan pembeli Singapura menerima barangan mereka dari Malaysia seperti biasa.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian