MFA: S'pura akan usaha bebaskan kapten kapal yang ditahan Indonesia

PEMERINTAH akan berusaha membebaskan kapten kapal The Seven Seas Conqueress, Encik Ricky Tan Poh Hui, dan kapalnya yang masih ditahan pihak berkuasa Indonesia, kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA).

"Kami akan terus memberikan segala bantuan yang perlu kepada Encik Tan dan ahli keluarganya dalam masa ini," menurut jurucakap MFA dalam kenyataannya hari ini.

Kapal The Seven Seas Conqueress, beserta anak kapal dan penumpangnya, telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia meskipun ia berada dalam lingkungan perairan negara ini dekat pulau Pedra Branca pada 20 Ogos lalu.

Seramai sembilan penumpang Singapura telah dibebaskan pada 1 September lalu, tetapi Encik Ricky Tan dan kapal tersebut masih ditahan.

Singapura telah mengemukakan bantahan keras terhadap tindakan Pemerintah Indonesia.

"Kami telah menekankan bahawa tidak ada asas bagi Indonesia untuk menahan kapal, anak kapal dan penumpang, mahupun penahanan berterusan dan tuduhan tidak berasas ke atas Encik Tan di Mahkamah Daerah Tanjung Pinang," menurut MFA lagi.

Tambahan daripada itu, para pegawai Singapura telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia berkali-kali, baik di peringkat nasional mahupun wilayah, bagi mendapatkan kebebasan segera untuk Encik Tan dan kapal tersebut, selain membatalkan apa jua siasatan yang dilakukan ke atasnya.

Selepas dimaklumkan pada 21 Ogos lalu tentang penahanannya, MFA segera mendapatkan akses konsular dan menemui Encik Tan.

Selepas permintaan yang berulang, pihak berkuasa Indonesia membenarkan pegawai konsular Singapura untuk bertemu Encik Tan pada 24 Januari lalu.