Panglima Tentera Udara Mervyn Tan akan mengundur diri pada 22 Mac, dengan Ketua Turus-Turus Bersama Kelvin Khong Boon Leong mengambil alih jawatannya, kata Kementerian Pertahanan (Mindef).
Perubahan ini sebahagian proses kepimpinan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kata Mindef dalam kenyataannya pada Jumaat (22 Feb) itu.
Kenyataan itu tidak mendedahkan rancangan bagi Mejar Jeneral Tan selepas meninggalkan jawatan itu.
MG Tan, 46 tahun, telah memimpin Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) sejak 28 Mac 2016.
Beliau menyertai SAF pada 1990 dan diberikan Anugerah Latihan (Luar Negara) SAF pada 1992.
Kata Mindef, MG Tan telah berkhidmat kepada SAF dengan cemerlang dan menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan.
Ini termasuk berkhidmat sebagai komander 121 Squadron, Ketua Rancangan Udara, komander Komand Pertahanan dan Operasi Udara, dan pengarah jabatan risikan ketenteraan, dan Ketua Komand, Kawalan, Perhubungan, Komputer dan Risikan.
BG Khong, 43 tahun, menyertai SAF pada 1995 dan menerima Biasiswa (Luar Negara) SAF.
Beliau menjalani latihan sebagai juruterbang F-15SG, dan menjadi komander 149 Skuadron - skuadron F-15SG pertama Singapura.
Beliau menyandang beberapa jawatan kanan dalam RSAF, termasuk sebagai Ketua Rancangan Udara, komander Komand Pertempuran Udara, Ketua Operasi Udara dan Ketua Turus-Turus Udara.
BG Khong juga menjadi pengerusi jawatankuasa RSAF yang menganjurkan pelbagai acara untuk meraikan ulang tahun RSAF yang ke-50 tahun lalu.