Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MHA: Ancaman pengganasan di S'pura kekal tinggi

ISIS terus sebar propaganda, galak individu jadi radikal; orang ramai perlu kekal berwaspada
MHA
Jan 23, 2019 | 05:30 AM



ANCAMAN pengganasan di Singapura kekal tinggi, sedang kumpulan pengganas seperti ISIS terus berusaha melancarkan serangan, menyebarkan propaganda ganas dan menggalak individu menjadi radikal.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata biarpun tiada maklumat risikan kredibel mengenai serangan yang akan dilancarkan terhadap Singapura pada masa ini, pasukan keselamatan terus mengekalkan tahap waspada yang tinggi.



Warga juga digesa supaya bersiap sedia menghadapi serangan yang mungkin berlaku.



Demikian antara dapatan yang terkandung dalam Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura yang dikeluarkan semalam.



Dalam laporan itu, MHA berkata Singapura, seperti negara lain, menghadapi ancaman serangan yang dilakukan individu yang menjadi radikal ekoran pengaruh ganas ISIS.



"Antara lain, kita terus mengesan rakyat Singapura dan warga asing yang bekerja di Singapura menjadi radikal ekoran propaganda pengganas," kata MHA.



Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura bertujuan meningkat kewaspadaan rakyat Singapura terhadap sekitaran keselamatan di sini dan serantau.



Dalam laporan tahun ini, MHA berkata ancaman paling serius dihadapi Singapura ialah daripada ISIS.



Walaupun kumpulan itu telah kehilangan kubu kuat, kurang melancarkan serangan dan kehilangan beberapa pemimpin militan serantau terkenal yang berpangkalan di Syria, ideologi ganas ISIS terus menular secara dalam talian dan menarik penyokong di sini dan luar negara, kata MHA.



Ancaman oleh penyokong ISIS di rantau ini juga kekal aktif.



Contohnya kumpulan militan Jemaah Ansharut Daulah (JAD) bertanggungjawab melancarkan serangan bom pada Mei tahun lalu di Surabaya, yang mengorbankan 28 orang. Ia merupakan serangan pertama di Asia Tenggara di mana wanita dan kanak-kanak digunakan sebagai pengebom nekad.



Menurut laporan media, terdapat lagi 12 serangan pengganas yang telah berlaku dan 13 rancangan ganas yang dipatahkan pihak berkuasa Indonesia pada tahun lalu.



Sementara di Malaysia pula, pihak berkuasa negara itu turut mematahkan beberapa rancangan ganas.



Menurut laporan media, pasukan keselamatan telah mematahkan empat rancangan pengganas dan menahan lebih 80 militan pada tahun lalu.



Pada November 2018, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah menahan 44 wanita sejak 2013 kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan keganasan.



Selain ISIS, MHA memberi amaran kumpulan pengganas lain seperti Jemaah Islamiyah (JI) dan Al-Qaeda, kelihatan muncul kembali.



Merujuk laporan terkini, ia menyatakan Al-Qaeda telah mula menghidupkan semula rangkaian sejagatnya selain mengeluarkan lebih banyak propaganda.



Anggota JI juga telah mula menyertai kumpulan pro-Al-Qaeda di Syria untuk meraih kemahiran dan pengalaman bertempur.



"Di Asia Tenggara, ada kemungkinan JI, yang bersekutu dengan Al-Qaeda, boleh menyambung semula merancang serangan," tambah MHA.



Dalam laporan itu, MHA turut menggesa orang ramai supaya elak daripada bersikap leka.



"Orang awam perlu terus kekal berjaga-jaga dan bersiap-sedia satu serangan boleh berlaku satu hari nanti," kata MHA.



Satu tinjauan mengenai tanggapan awam mengenai ancaman pengganasan menunjukkan semakin kurang warga yang melihat ancaman akan berlaku biarpun lebih ramai warga akur Singapura merupakan sasaran bagi pengganas.



Tinjauan yang melibatkan sekitar 2,000 rakyat Singapura yang dijalankan pada Jun dan Julai tahun lalu itu mendapati hanya satu di kalangan lima responden merasakan ancaman pengganasan akan berlaku, dengan serangan itu berlaku dalam masa lima tahun akan datang.



Laporan lanjut: S'pura tangani 22 individu radikal sejak 2015




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >