Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MHA berkas sekumpulan penyokong pemberontak Myanmar di S'pura

Kegiatan mereka tidak selamat bagi S'pura, akan dihantar pulang
Jul 12, 2019 | 05:30 AM



KEMENTERIAN Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah memberkas sekumpulan warga Myanmar kerana menggunakan Singapura sebagai wadah untuk mendapatkan sokongan bagi usaha memberontak dengan ganas dan bersenjata terhadap pemerintah mereka.



Tindakan menyokong Arakan Army (AA), kumpulan bersenjata yang telah melaksanakan serangan ganas di Myanmar, adalah "tidak selamat bagi Singapura", kata MHA dalam satu kenyataan kelmarin.



Tambahnya, mereka yang didapati terlibat dengan kegiatan yang mengancam keselamatan akan dihantar pulang.



Kenyataan itu dibuat menyusuli laporan media Myanmar bahawa enam pemimpin Arakan Association (Singapore) telah diberkas, dengan komputer dan telefon bimbit mereka dirampas.



Arakan Army, yang ditubuhkan pada April 2009 untuk menentang tentera Myanmar bagi mendapatkan autonomi lebih luas di Rakhine dan Chin, telah dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh pemerintah Myanmar.



Menurut MHA, siasatan yang dijalankan terhadap kumpulan ini mendedahkan bahawa kumpulan tersebut telah mengumpulkan dan mengerah beberapa anggota masyarakat Myanmar di Singapura untuk menyokong tentera tersebut dan sayap politiknya, United League of Arakan (ULA).



Namun, MHA tidak menyatakan jumlah individu yang disiasat tetapi laman berita Myanmar Irrawaddy melaporkan enam individu telah ditangkap.



Mereka termasuk pengerusi madya Ko Hein Zaw, naib pengerusi Daw Aye Myat Mon, pegawai perhubungan Ko Ye Kyaw Htet serta Ko Tin Hlaing Oo, Ko Aung Myat Kyaw dan Ko Tun Aye.



Menurut MHA, salah seorang anggota kumpulan itu mempunyai hubungan langsung dengan seorang pemimpin utama AA.



Mengikut arahan pucuk pimpinan AA, dia giat mendapatkan sokongan daripada masyarakat Arakan di Singapura.



Dia antara lain menggesa mereka menyumbang kepada satu "dana nasional" dan menggunakan acara kemasyarakatan untuk meraih sokongan bagi Rakhine.



Menurut laporan laman berita Irrawaddy itu, Ko Aung Myat Kyaw merupakan sepupu ketua AA Tun Myat Naing.



Menurut MHA, individu yang disiasat itu memberi sokongan kewangan secara kerap kepada AA, dengan salah seorang daripada mereka memberi sumbangan setiap bulan.



Tambahnya, kesemua mereka yang ditangkap itu turut terlibat dalam satu acara sambutan ulang tahun AA dan ULA yang ke-10 baru-baru ini.



Di acara tersebut, mereka yang hadir memakai baju dengan logo rasmi AA.



Satu video yang menunjukkan ketua AA menggesa penonton bersatu dan berjuang demi kebebasan Rakhine menerusi konflik bersenjata terhadap pemerintah mereka turut disiarkan di acara tersebut.



AA, yang mempunyai sekitar 7,000 anggota, melaksanakan dua serangan terhadap dua pondok polis Myanmar awal tahun, selain merampas jumlah besar senjata dan peluru.



Menurut media Myanmar, lebih 20 pegawai polis terbunuh sementara wanita dan kanak-kanak pula diculik.



Dalam pada itu, MHA menarik perhatian bahawa kebanyakan warga Myanmar di Singapura rata-ratanya mematuhi undang-undang dan mempunyai pelbagai sumbangan.



"Kita harus berhati-hati tidak membenarkan tindakan segelintir individu menjejas sumbangan positif anggota lain masyarakat ini yang hidup harmoni dalam kalangan kita," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >