UNDANG-UNDANG berita palsu Singapura telah digunakan sebagai respons kepada dakwaan yang tersebar dalam talian mengenai pegawai polis yang dikatakan membuli dan memarahi seorang wanita tua kerana tidak menggunakan pelitup.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (21 Mei), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata ia telah mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) agar mengeluarkan arahan pembetulan.
Ini ditujukan kepada pengguna Instagram @nichology serta laman Singapore Uncensored dan The Online Citizen Asia.
Kisah Instagram oleh @nichology pada Selasa mendakwa pegawai polis mencemuh dan memarahi wanita itu kerana tidak menggunakan pelitup.
Pada hari yang sama, Singapore Uncensored pula mengeluarkan rencana tentang kisah Instagram @nichology manakala The Online Citizen Asia berkongsi kisah Instagram tersebut.
Semua pihak ini perlu membuat notis pembetulan sebagai lampiran pos baru mereka.
MHA berkata kisah Instagram itu mendakwa empat pegawai polis telah mengerumuni wanita tua yang membuka pelitupnya kerana terasa payah bernafas.
Ia juga mendakawa para pegawai polis berkenaan telah menyalahgunakan kuasa dan "terus memarahinya sehinggakan seseorang perlu hadir bagi menyelamatkan keadaan".
MHA berkata: "Dakwaan ini semua palsu keseluruhannya dan tiada sebab bagi dakwaan tentang polis menyalahgunakan kuasa dikemukakan".
Pihak polis telah menafikan dakwaan itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
MHA berkata polis bertemu wanita itu pada Isnin di Blok 743, Yishun Avenue 5 sekitar 6.45 petang.
Wanita 85 tahun itu yang tidak menggunakan pelitup nampak kehilangan dengan pegawai polis tampil membantunya untuk kembali pulang ke rumah.
Dengan bantuan seorang penduduk, diketahui bahawa wanita itu menetap di blok berdekatan. Pembantu rumahnya dihubungi agar membawanya pulang.
Kerana peristiwa itu berlaku hampir waktu makan malam, pegawai polis telah membelikannya makanan, tambah MHA.
"Orang awam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam menyebar maklumat yang tidak disahkan kesahihannya serta bersikap bertanggungjawab apabila memuatnaikkan pos atau berkongsi sebarang maklumat dalam talian," jelas MHA lagi.