Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MHA, MinLaw sangkal kenyataan pertubuhan hak asasi manusia berkait pelaksanaan hukuman mati

Sep 09, 2022 | 05:30 AM



KENYATAAN Suruhanjaya Pakar Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) dan Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (Ibahri) yang menggesa Singapura menggantung pelaksanaan hukuman mati mengandungi beberapa tanggapan salah dan ketidaktepatan.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata demikian dalam kenyataan bersama yang dikeluarkannya semalam.



Menurut kenyataan itu, kedua-dua pertubuhan telah merujuk kepada kes yang melibatkan hukuman mati di Singapura sebelum ini dan antara lain mempersoal keadilan proses mahkamah.



Dalam responsnya, MHA dan MinLaw berkata semua orang di negara ini mempunyai akses kepada keadilan dan sistem keadilan jenayah Singapura adalah adil serta saksama.



Dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 9 Ogos lalu, ICJ antara lain melahirkan rasa amat prihatin tentang laporan mengenai arahan kos punitif terhadap peguam yang mewakili anak guam yang sedang menanti hukuman mati dijatuhkan.



Tambahnya, langkah itu telah menghalang banduan yang sedang menanti hukuman mati dijatuhkan daripada mendapatkan keadilan dan remedi yang berkesan.



Sementara itu, Ibahri, yang mengeluarkan kenyataannya pada 11 Ogos, pula berkata mahkamah Singapura baru-baru ini telah mengenakan arahan kos terhadap peguam kerana memfailkan permohonan tahap akhir yang remeh, menyulitkan dan menyalahguna proses bagi pihak anak guam mereka yang sedang menanti hukuman mati dijatuhkan.



Tambahnya, langkah itu menimbulkan keprihatinan tentang akses kepada keadilan, perwakilan guaman yang berkesan dan hak mendapatkan perbicaraan yang adil.



Namun, MHA dan MinLaw berkata kenyataan oleh kedua-dua pertubuhan itu adalah tidak tepat.



"Di Singapura, semua orang yang menghadapi hukuman mati mempunyai akses kepada keadilan dan perwakilan guaman.



"Sekiranya seseorang yang didakwa dengan kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati tidak mampu mendapatkan khidmat peguam, khidmat peguam akan tetap ditawarkan kepadanya percuma, tanpa mengira kerakyatan, di bawah Skim Bantuan Guaman bagi kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati," ujarnya.



Tambahnya, tindakan tidak pernah diambil terhadap peguam yang mewakili individu yang menghadapi hukuman mati.



Malah, semua defendan berhak mendapatkan peguam untuk membela mereka.



Bagaimanapun, hak itu tidak bermakna proses mahkamah boleh disalahguna.



Di banyak negara juga, mahkamah mempunyai kuasa untuk mencegah perbuatan menyalahguna proses mahkamah.



"Tidak mungkin (ICJ dan Ibahri) serius mencadangkan bahawa mereka mahu perbuatan menyalahguna proses mahkamah tidak dikenakan sebarang tindakan," ujar MHA dan MinLaw.



Dalam pada itu, Ibahri turut merujuk kepada komen anggota Pelapor Khas dan Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa jumlah mereka yang dikenakan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah adalah tidak seimbang, dengan kebanyakan merupakan individu daripada golongan minoriti dan latar belakang yang kurang bernasib baik.



Namun, MHA dan MinLaw menekankan bahawa kumpulan etnik dan status sosio-ekonomi seseorang tidak mempengaruhi tanggungjawab profesional yang dijalankan agensi penguatkuasaan undang-undang di Singapura, keputusan yang dibuat pihak pendakwa raya serta keputusan yang disampaikan mahkamah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >