KEMENTERIAN Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pemeriksaan semasa keberangkatan di pusat imigresen merupakan 'strategi keselamatan sempadan Singapura yang penting'.
Pemeriksaan imigresen dan kastam tidak mungkin ditiadakan bagi pelawat yang berangkat ke luar negara, ujar MHA dalam jawapannya kepada The Sunday Times.
MHA berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, yang mengusulkan pemeriksaan tunggal di Koswe bagi membaiki aliran trafik ke Koswe Johor seperti ditukil akhbar Malaysia, The Star.
"Pemerintah Singapura akan terus bekerjasama dengan Malaysia bagi meneroka cara praktikal menyelaras lawatan antara Singapura dengan Malaysia,'' kata MHA.
Dalam laporan The Star, Datuk Najib berkata pelancong mungkin diperiksa hanya sekali di bawah satu saranan bagi memperbaiki aliran di Tambak Johor.
Beliau berkata di bawah rancangan tersebut, mereka yang pergi ke Singapura akan diperiksa di republik itu sementara yang menuju ke Johor diperiksa di Malaysia.
Terdapat juga cadangan menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung, katanya.
"Ini antara cadangan yang dipertimbangkan pasukan petugas yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri," kata Datuk Najib selepas satu sesi bertemu rakyat di Bukit Mor, Muar, kelmarin.
Mengenai keputusan Malaysia mengurangkan levi dan tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), beliau berharap selain mengurangkan kesesakan, ia juga membantu menambah jumlah pelancongan dan menarik lebih ramai rakyat Singapura ke negara itu.
Dalam usaha meredakan kesesakan di Koswe, Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata Singapura akan memadankan rancangan Malaysia mengurangkan kadar tol di Linkedua bermula 1 April.
"Mengurangkan tol di Linkedua merupakan satu saranan. Pelaksanaannya harus pantas. Malaysia mengumumkan bahawa tol di Linkedua akan dikurangkan semasa musim kurang sibuk.
"(Kami) menyambut baik keputusan ini dan akan memadankan kadar tol semakan Malaysia itu. Ia akan dilaksanakan mulai 1 April 2018. Mudah-mudahan ia akan menggalak pengguna jalan raya agar beralih dari waktu sibuk,'' kata Encik Khaw di Facebook.
Untuk mengurangkan kesesakan di Koswe menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina, Encik Khaw menambah bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar meningkatkan kekerapan kereta api Tebrau Shuttle antara Woodlands dengan Johor Bahru kepada 31 perjalanan sehari, berbanding 26 perjalanan, bermula Selasa ini.
"Dengan langkah ini, kami yakin aliran trafik akan lebih lancar,'' kata Encik Khaw.
Di bawah semakan itu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bayaran tol bagi semua kenderaan (kecuali motosikal) yang keluar dan memasuki republik ini melalui Pusat Pemeriksaan Tuas, akan menikmati bayaran lebih rendah lebih 85 peratus semasa waktu kurang sibuk pada 10 pagi hingga 3 petang dan 11 malam hingga 5 pagi setiap hari.
LTA akan juga menyemak bayaran tol semasa waktu sibuk - dari 5 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 11 petang - bagi menyesuaikan perubahan dalam kadar tukaran mata wang sejak tol itu ditetapkan kali terakhir pada 2010.