Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Setempat

MHA: Polis siasat pemilik kondo yang maki pegawai keselamatan

Nov 01, 2019 | 05:30 AM

POLIS sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap Encik Erramalli Ramesh atas kesalahan menyebabkan gangguan kepada pegawai keselamatan yang bertugas di kondominium Eight Riversuites dengan sengaja.

Demikian didedahkan satu kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) malam kelmarin.

Dalam video yang dimuat naik di YouTube Jumaat lalu, yang kemudian tular dalam talian, Encik Ramesh dilihat memaki pegawai keselamatan, Encik Steven Heng, setelah diberitahu bahawa beliau perlu membayar $10 jika tetamunya ingin meletak kereta di kawasan kondominium itu selepas 11 malam.

Tetamu Encik Ramesh tiba di kondominium itu sekitar 10.30 malam, sempena perayaan Deepavali.

Menurut MHA, polis memandang serius sebarang tingkah laku kasar terhadap pegawai keselamatan yang sedang menjalankan tugas.

Kenyataan itu turut menarik perhatian bahawa Encik Ramesh, 44 tahun, mendirikan rumah tangga dengan warga Singapura.

Beliau memperoleh kewarganegaraan Singapura di bawah tajaan isterinya, di bawah skim hubungan keluarga.

Sementara itu, Encik Ramesh dilaporkan telah "meminta maaf banyak kali" kepada Encik Heng semasa satu mesyuarat tertutup yang berlangsung selama sejam malam kelmarin.

Encik Ramesh, yang menetap di kondominium Eight Riversuites itu, kesal akan perbuatannya apabila bertemu dengan Encik Heng, kata ketua persatuan sektor keselamatan yang turut hadir di mesyuarat itu.

Dalam satu pos di Facebook, Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Keselamatan Bertauliah (ACSA), Encik Gary Haris, menambah bahawa Encik Ramesh telah kenal rapat Encik Heng, malah memanggilnya "Uncle Steven (Pak cik Steven)".

Mereka pernah beramah mesra apabila bertemu di sekitar kondominium itu, katanya.

Menurut laporan The Straits Times, Encik Haris menulis pos Facebooknya sejurus selepas mesyuarat itu berakhir dan mendedahkan bahawa kedua-dua pihak telah saling bermaafan dan melupakan insiden tersebut.

Sejak insiden Jumaat lalu, maklumat peribadi Encik Ramesh termasuk unit kondominium dan nombor telefon bimbit serta gaji dan sejarah pendidikannya telah dimuat naik dalam talian hingga menyebabkan pengguna Internet meminta majikannya - firma perkhidmatan kewangan antarabangsa JP Morgan - untuk memecatnya.

Sementara itu, dalam nota yang dihantar melalui e-mel kepada lebih 3,000 kakitangannya di Singapura, JP Morgan mengingatkan mereka untuk mengamalkan "budaya saling menghormati" semasa menjalankan kehidupan seharian.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian