Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

MHA sangkal dakwaan NGO M'sia tentang hukuman mati S'pura, kenakan Pofma

Jan 23, 2020 | 05:30 AM

KEMENTERIAN Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengutuk dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Lawyers for Liberty (LFL), tentang cara pelaksanaan hukuman mati Singapura dan berkata ia tidak benar, tidak berasas dan tidak munasabah.

MHA juga menggunakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) serta mengarahkan LFL dan tiga pihak yang berkongsi dakwaan tersebut - aktivis Singapura Kirsten Han, laman web The Online Citizen dan Yahoo Singapura - membetulkan kenyataan palsu itu.

Ini kali kelima Pofma digunakan sejak ia berkuat kuasa 2 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan pada 16 Januari lalu, LFL mendakwa pegawai penjara di Singapura diarah menendang bahagian belakang leher seorang banduan dengan kuat untuk mematahkannya sekiranya tali gantung putus semasa hukuman gantung dijalankan.

Ia juga mendakwa pemerintah Singapura meluluskan cara yang menyalahi undang-undang digunakan untuk menutup kejadian tali putus semasa hukuman gantung dilaksana.

"Dakwaan itu langsung tidak berasas," kata MHA semalam.

Ia menambah bahawa semua hukuman gantung di Singapura dijalankan mengikut undang-undang.

"Semua hukuman gantung dijalankan antara lain dengan kehadiran Superintenden Penjara dan doktor perubatan.

"Undang-undang juga memerlukan seorang Koroner (Pegawa Kehakiman Mahkamah Negara) menjalankan siasatan dalam tempoh 24 jam selepas hukuman gantung itu dijalankan untuk menentukan hukuman itu dijalankan seperti yang sepatutnya dan dengan betul," kata MHA.

Ia juga berkata tali yang digunakan bagi hukuman gantung tidak pernah terputus dan pegawai penjara tidak menerima latihan khas untuk menlaksana cara hukuman kejam yang didakwa itu.

Sebarang tindakan yang didakwa LFL dalam kenyataannya itu akan disiasat sepenuhnya dan tindakan susulan diambil.

MHA juga menarik perhatian bahawa LFL mempunyai sejarah menerbitkan cerita sensasi dan tidak benar untuk mendapatkan perhatian.

Ini dilakukan dengan harapan banduan Malaysia yang didapati bersalah mengedar dadah dan dijatuhi hukuman mati di Singapura dapat dilepaskan daripada hukuman tersebut.

"Sesiapa yang mengedar dadah di Singapura membahayakan dan memusnahkan kehidupan ramai warga Singapura.

"Oleh itu, mereka harus bersedia menghadapi akibatnya," ujar MHA.

November lalu, warga Malaysia Abd Helmi Ab Halim yang didapati bersalah mengedar dadah dihukum gantung selepas petisyen yang dikemukakan kepada Presiden Singapura bagi pengampunan ditolak.

Mei lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam berkata hampir 30 peratus pengedar dadah yang ditangkap di Singapura pada 2018 ialah warga Malaysia dan hampir 30 peratus jumlah heroin yang dirampas dibawa masuk oleh warga Malaysia.

MHA juga berkata mereka telah mengarahkan Pejabat Pofma mengeluarkan arahan pembetulan terhadap LFL dan tiga pihak lain - laman Facebook Cik Han yang kongsi kenyataan LFL, The Online Citizen yang menerbitkan rencana dengan kenyataan palsu itu dan laman Facebook Yahoo Singapura yang kongsi rencana dengan kenyataan palsu itu.

"Mereka perlu menerbitkan notis pembetulan bersama pos atau rencana mereka, dengan menyatakan bahawa pos atau rencana itu mengandungi kenyataan palsu," ujar MHA.

*Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya. Versi asal artikel ini mengandungi tajuk berita yang merujuk kepada Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan bukan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). Kami mohon maaf atas kesalahan ini. 

 

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian